KRC tarik pelaburan berpontensi lebih RM2.1 bilion

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Kedah Rubber City (KRC) telah menarik pelaburan berpotensi lebih daripada RM2.1 bilion dan lebih 5,000 peluang pekerjaan dihasilkan oleh pemain industri getah tempatan yang telah memberi komitmen untuk menjadi sebahagian daripada KRC apabila ia mula beroperasi pada suku kedua tahun 2022.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, projek berimpak tinggi di Padang Terap itu memiliki potensi besar seiring dengan peningkatan permintaan dunia terhadap produk getah.

Menurutnya, fasa pertama projek ini dimulakan tahun lalu dan kemajuan pelaksanaannya pada masa ini adalah lebih daripada 30 peratus malah kerja-kerja ekosistem pembuatan dan logistik sedang dijalankan dan dijangka KRC bersedia menerima pelabur bermula tahun ini.

"Setelah siap sepenuhnya, KRC bersedia untuk memacu Malaysia kembali sebagai pemimpin dunia dalam industri getah dan akhirnya rakyat akan meraih keuntungan menerusi peluang pekerjaan baharu dan peningkatan pendapatan," katanya dalam satu kenyataan selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Negeri bersama Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) secara dalam talian pada Isnin.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, berdasarkan permintaan dunia terhadap sarung tangan kelas perubatan getah yang semakin meningkat, NCIA telah meluluskan pelaburan baharu bernilai RM10 bilion daripada pengeluar sarung tangan dengan memperluaskan barisan pengeluaran mereka di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) dan juga di Taman Sains dan Teknologi Bukit Kayu Hitam (BKHSTP).

Beliau berkata, kerjasama penyelidikan dan pembangunan (R&D) dengan universiti tempatan juga sedang dirancang untuk mengembangkan dan mengkomersialkan produk berasaskan nitril kelas perubatan bernilai tinggi serta meneroka penggunaan bahan alternatif canggih seperti graphene oksida dan kalsium karbonat untuk pengeluaran produk getah berteknologi tinggi.

Sementara itu, Ketua Eksekutif NCIA, Datuk Seri Jebasingam Issace John pula berkata, kesan langsung program-program pengukuhan ekosistem bakat dan pelaksanaan projek berimpak tinggi, NCER telah meluluskan pelaburan melalui insentif fiskal NCER bernilai hampir RM10 bilion.

Menurutnya, jumlah pelaburan itu mampu menghasilkan lebih dari 15,000 peluang pekerjaan dalam sektor Pembuatan, Logistik dan Agribio untuk Kedah pada tahun lepas.

Artikel Berkaitan:

"Kejayaan NCER dalam menarik pelaburan dalam tempoh yang mencabar ini menjadi bukti ketahanan ekonomi negara dan wilayah ini.

"Ditambah dengan fokus dalam meningkatkan ekosistem bakat NCER melalui Program Modal Insan bersepadu, Rakyat dijangka akan melihat perkembangan sosioekonomi yang kukuh dan mampan apabila tempoh mencabar ini berakhir,” katanya.