Kerajaan digesa lanjut operasi restoran, kedai makan

Ahli-ahli Parlimen pembangkang yang menggesa kerajaan membenarkan semua kedai makanan dan minuman beroperasi selepas jam 8 malam.
Ahli-ahli Parlimen pembangkang yang menggesa kerajaan membenarkan semua kedai makanan dan minuman beroperasi selepas jam 8 malam.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli-ahli Parlimen pembangkang menggesa kerajaan membenarkan semua kedai makanan dan minuman beroperasi dalam tempoh masa sebagaimana lesen perniagaan yang dikeluarkan dan tidak terhad sehingga jam 8 malam sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa.

Menerusi satu kenyataan bersama pada Isnin, ahli-ahli Parlimen terlibat berkata, tempoh operasi kedai makanan dan minuman ketika ini menyusahkan mereka yang perlu membeli makanan selepas tamat waktu bekerja.

"Kami menggesa Kerajaan Perikatan Nasional membenarkan semua kedai makanan dan minuman beroperasi seperti yang tercatat dalam lesen perniagaan mereka (peniaga).

"Ia memandangkan makan di kedai tidak dibenarkan dan penjualan makanan adalah secara bawa pulang, pandu lalu atau penghantaran ke rumah," menurut kenyataan itu.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh 21 ahli Parlimen termasuk Ahli Parlimen Penampang, Datuk Darell Leiking; Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd Azis Jamman; Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh; Ahli Parlimen Bakri, Yeo Bee Yin; Ahli Parlimen Selangau, Baru Bian; Ahli Parlimen Sungai Buloh, R Sivarasa dan Ahli Parlimen Pulai, Datuk Salahuddin Ayub.

Turut bersama, Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah; Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching; Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis; Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar; Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abd Samad dan Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik.

Turut membuat kenyataan itu, Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin; Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi; Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok; Ahli Parlimen Kuala Selangor,

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad; Ahli Parlimen Gopeng, Dr Lee Boon Chye; Ahli Parlimen Batu Kawan,Kasthuriraani Patto dan Ahli Parlimen Merbok, Nor Azrina Surip @ Nurin Aina.

Artikel Berkaitan:

Menurut mereka, membenarkan peniaga beroperasi mengikut lesen perniagaan akan membantu memulihkan ekonomi peniaga selain menjana pendapatan penghantar makanan.

Katanya, kebenaran itu akan menggalakkan rakyat duduk di rumah kerana mereka boleh membuat pesanan dari rumah dan tidak terhad sehingga 8 malam sahaja.

"Kami menggesa Majlis Keselamatan Negara (MKN) segera memperbaiki prosedur operasi standard (SOP) ini kerana ia memberi kesan kepada peniaga yang hanya bergantung kepada pendapatan harian mereka.

"Kami juga menggesa Kerajaan melanjutkan moratorium sekurang-kurangnya untuk tempoh enam bulan lagi.

"Berbanding semasa PKP fasa pertama, para peniaga mungkin lebih teruk terjejas kali ini kerana mereka terpaksa menanggung pembayaran sewa kedai dan gaji pekerja tanpa adanya moratorium seperti sebelum ini," katanya.

Sebelum ini, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan sebahagian aktiviti ekonomi dibenarkan beroperasi sepanjang PKP dengan waktu operasi antara 6 pagi hingga 8 malam kecuali bagi aktiviti tertentu.

Katanya, ia termasuk restoran, kedai makan, penjaja tepi jalan dan beredar serta medan selera, namun tidak boleh makan di premis berkenaan sebaliknya hanya penghantaran, pembungkusan dan pandu lalu sahaja dibenarkan.