X

Kindly register in order to view this article
!

Husam derma gaji RM1,000 sebulan bantu 'frontliners'

Husam
A
A

KOTA BHARU - Senator Datuk Husam Musa menyumbang sebahagian gajinya sebagai Ahli Dewan Negara iaitu RM1,000 sebulan bagi membantu barisan hadapan yang bertugas memerangi Covid-19.

Husam berkata, tindakan terbabit dilakukan selepas terharu membaca luahan tekanan dihadapi petugas kesihatan menerusi surat terbuka daripada doktor bertugas di Hospital Sungai Buluh.

Menurutnya, pemotongan gaji berjumlah RM1,000 sebulan itu bermula dari Januari untuk hospital berkenaan menyediakan fasiliti yang diperlukan kepada petugas terbabit.

“Sebagai tanda kebersamaan saya terhadap 'doktor dari Hospital Sungai Buluh' ini yang mungkin mewakili petugas kesihatan di semua hospital di seluruh negara, saya dengan rendah hati menderma RM1,000 sebulan daripada elaun saya selaku Ahli Dewan Negara.

“Ia bermula dengan gaji bulan Januari sehingga wabak Covid-19 ini reda, dengan pertolongan ALLAH SWT insya-ALLAH,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Dalam pada itu, Husam juga berkata, Yayasan Darul Hijrah mengambil inisiatif mengumpul sumbangan dan akan disalurkan terus kepada Kementerian Kesihatan Malaysia bagi tujuan itu dari masa ke masa.

Berhubung isu sama, Husam turut menghantar surat kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya meluluskan peruntukan dengan segera bagi menyediakan keperluan kepada barisan petugas hadapan.

Terdahulu, sebuah portal berita menyiarkan mengenai surat terbuka daripada seorang individu yang menyebut dirinya sebagai seorang doktor yang bekerja di Hospital Sungai Buloh.

Surat terbuka bertajuk 'Tolong layan kami dengan manusiawi' menyentuh mengenai ketiadaan fasiliti yang sesuai kepada petugas kesihatan yang menangani kes Covid-19 seperti bilik rehat dan penyediaan makanan semasa bertugas syif on-call atas alasan kekurangan dan pemotongan peruntukan oleh kerajaan Malaysia.

Husam yang juga Pengerusi Yayasan Darul Hijrah berpendapat situasi seperti itu sesuatu yang buruk dan tidak sepatutnya terjadi.

“Ia akan memberikan kesan kepada moral dan kemampuan mereka sebagai manusia bukan robot, untuk terus kekal kuat, sihat dan bersemangat bagi meneruskan tugas berat sebagai petugas barisan hadapan dalam usaha menangani wabak Covid-19 kini.

“Dalam mana-mana medan, tumbangnya pasukan petugas hadapan akan memberikan akibat buruk yang fatal. Isu-isu kebajikan petugas kesihatan dan lain-lain petugas barisan hadapan juga seperti polis dan tentera, hendaklah diberikan keutamaan,” katanya.

Justeru katanya, kemampuan kewangan negara hendaklah digunakan sebaik mungkin mengikut keutamaan sebenar bagi menyelesaikan permasalahan asas seperti itu bagi membuktikan kerajaan pimpinan Muhyiddin benar-benar prihatin dengan ancaman utama negara pada masa ini.

“Isu seperti ini adalah 'manageable' dan sebarang perkara yang boleh meruntuhkan kemampuan jentera barisan hadapan dalam tugas berat ini hendaklah diberikan 'top priority and treated with real sense of urgency and emergency',” katanya.

Pada masa sama, Husam mengajak masyarakat untuk menghulurkan sumbangan bagi membantu barisan hadapan yang bertugas merawat pesakit Covid-19.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!