X

Kindly register in order to view this article
!

Tindakan Anwar mohon perkenan Agong batal darurat tidak wajar

Azmin (tiga dari kiri) bertemu dengan komuniti Kampung Tembioh ketika program gotong-royong membersihkan balai raya yang terjejas banjir pada Ahad.
A
A

KOTA TINGGI - Tindakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak semua ahli Parlimen mengutuskan warkah kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi memohon perkenan membatalkan pelaksanaan darurat disifatkan tidak wajar.

Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Anwar perlu lebih bertanggungjawab terhadap isu rakyat, keselamatan dan kesihatan berbanding berterusan memainkan isu politik.

"Jangan politik berpanjangan, sampai hukum dan heret rakyat. Tujuan proklamasi darurat ketika ini semata-mata mahu mengatasi isu Covid-19.

"Di dalam ordinan darurat yang telah diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, pentadbiran kerajaan Persekutuan dan negeri diteruskan walaupun dalam perlembagaan, pentadbiran kerajaan negeri boleh dihentikan.

"Namun situasi ini tidak berlaku, sebaliknya kerajaan Persekutuan dan negeri tetap teruskan tanggungjawab demi menyelamatkan rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian selepas program gotong-royong membersihkan Balai Raya Kampung Tembioh, Kota Tinggi yang merupakan Program Misi Bantuan Banjir Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) dan Misi 202 pada Ahad.

Hadir sama, Timbalan Speaker Dewan Rakyat yang juga Pengerusi Penggerak Komuniti Negara (PKN) Johor, Datuk Mohd Rashid Hasnon.

ARTIKEL BERKAITAN: Anwar hantar surat kepada semua MP rayu Agong batal darurat

Dalam pada itu, Mohamed Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak sempat berseloroh mengatakan beliau tidak pernah menerima apa- apa surat daripada Anwar.

"Seingat saya, dia (Anwar) tiada alamat saya," katanya.

Terdahulu, Sinar Harian pada 14 Januari lalu melaporkan Anwar sudah menghantar surat kepada semua ahli Parlimen mengajak mereka mengutuskan warkah kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam usaha merayu membatalkan pelaksanaan darurat di negara ini dan Parlimen boleh segera bersidang.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu menegaskan Parlimen perlu bersidang segera untuk membahaskan isu darurat, Covid-19 dan kemelut ekonomi yang melanda negara.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!