X

Kindly register in order to view this article
!

Pahang tidak benarkan majlis akad nikah di masjid, surau

Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) pada Sabtu memaklumkan majlis akad nikah tidak dibenarkan diadakan di masjid atau surau di negeri ini sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). - Gambar hiasan
A
A

KUANTAN - Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) pada Sabtu memaklumkan majlis akad nikah tidak dibenarkan diadakan di masjid atau surau di negeri ini sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Bagaimanapun aktiviti lain termasuk solat Jumaat, solat fardu dan program ilmu masih dibenarkan tertakluk kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

Pengarah JAIP, Datuk Dr Zulkifle Ali berkata, bilangan jemaah solat Jumaat dibenarkan 40 orang atau lebih bergantung kepada kapasiti ruang solat yang dibuka.

Menurutnya, kaedah penentuan kehadiran jemaah secara terbuka dan perlu mematuhi segala SOP ditetapkan termasuk mengimbas suhu badan dan merekodkan kehadiran melalui aplikasi MySejahtera.

"Para jemaah wajib membawa sejadah sendiri, mengamalkan penjarakkan fizikal dan memakai pelitup muka sepanjang berada dalam masjid.

"Imam pula perlu membaca surah yang ringkas dan memendekkan tempoh wirid dan doa selepas solat," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Dr Zulkifli berkata, SOP sama ditetapkan untuk jemaah yang menunaikan solat fardu di masjid atau surau di negeri ini.

Katanya, setakat ini jemaah bukan warganegara dan kanak-kanak di bawah 12 tahun tidak dibenarkan.

"Jemaah musafir dibenarkan namun hanya di ruang solat yang ditentukan dan tertakluk kepada SOP yang ditetapkan.

"Aktiviti pengajian ilmu hanya dibenarkan selepas solat Subuh dan antara waktu Maghrib dan Isyak sahaja dan tidak dibenarkan mengadakan jamuan selepas majlis itu.

"Penceramah dari luar Pahang tidak dibenarkan," katanya.

Menurutnya, solat jenazah dibenarkan diadakan di dalam ruang solat masjid atau surau namun perlu mematuhi segala SOP.

"Pengurusan jenazah perlu dibuat di tempat yang dikhaskan dengan bilangan pengendali bergantung kepada keluasan ruang mengambil kira penjarakkan fizikal manakala bacaan talkin dan tahlil ringkas sahaja dibenarkan selepas pengebumian," katanya.

Justeru katanya, ahli jawatankuasa masjid atau surau perlu tegas dalam melaksanakan SOP dan pada masa sama ruang solat dan kawasan sekitar termasuk tandas disanitasi sekerap mungkin.

"Individu yang gagal mematuhi SOP ditetapkan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988(Akta 342) dengan denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!