X

Kindly register in order to view this article
!

Pasukan pakar WHO mula mesyuarat secara maya

Kesemua 13 pakar antarabangsa tersebut sedang menjalani kuarantin wajib di Hotel Jade Boutique di bandar Wuhan. - Foto: AFP
A
A

WUHAN - Pasukan pakar Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang akan menyiasat asal usul Covid-19 akan memulakan mesyuarat secara maya bersama wakil kerajaan China pada Jumaat.

"Kami kini sedang menjalani kuarantin wajib selama 14 hari di hotel dan diberi layanan yang baik oleh Beijing. Misi ini bermula hari ini," kata ahli zoologi, Peter Daszak menerusi Twitter.

Difahamkan, hotel penginapan pasukan pakar antarabangsa di bandar Wuhan itu turut dikawal anggota keselamatan.

Sementara itu, ahli virologi, Dr Dominic Dwyer berkata, beliau dan saintis lain cuba untuk mengetepikan isu politik yang mungkin akan menjejaskan misi sukar tersebut.

"Kita pasti akan menyaksikan campur tangan politik dalam senario seperti ini. Tetapi, satu perkara yang positif tentang Covid-19 adalah jika anda mempunyai pengetahuan sains yang baik, anda boleh memberi jawapan supaya orang ramai mendapat maklumat tepat sekali gus membuat keputusan yang lebih masuk akal," ujarnya.

Jelasnya, jadual perjalanan lawatan itu juga belum dimuktamadkan, namun beliau berharap dapat melawat ke institut penyelidikan, hospital dan pasar borong yang mencatatkan kes pertama membabitkan manusia pada akhir tahun 2019.

Dalam perkembangan berkaitan, pakar warga United Kingdom (UK) telah dibenarkan untuk menaiki penerbangan ke China selepas ujian semula antibodi yang dilakukan ke atas beliau menunjukkan keputusan negatif.

Menurut jurucakap Kementerian Luar China, Zhao Lijian, seorang lagi pakar yang merupakan warga Sudan masih terkandas kerana ujian serologi ke atas beliau menunjukkan keputusan positif.

"Kami akan terus berhubungan dengan WHO tentang perkara ini," tambahnya.

Terdahulu, pasukan terdiri daripada 15 pakar antarabangsa itu turut menjalani ujian saringan yang menunjukkan keputusan negatif sebelum mereka meninggalkan negara masing-masing dan kembali melakukan ujian lebih lanjut ketika transit di Singapura. - Agensi


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!