Diculik, dipukul kerana gagal bayar hutang

Tiga suspek membawa mangsa yang dikatakan gagal membayar hutang isteri kepada suspek utama dalam kejadian pada Khamis.
Tiga suspek membawa mangsa yang dikatakan gagal membayar hutang isteri kepada suspek utama dalam kejadian pada Khamis.
A
A
A

KEPALA BATAS- Seorang penganggur berdepan detik cemas selepas dilarikan tiga lelaki selain dipukul sehingga luka teruk kerana masalah hutang dalam kejadian pada jam 5.30 petang, Khamis.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa berjaya diselamatkan polis selepas menerima laporan daripada seorang wanita berusia 48 tahun yang menyaksikan kejadian itu.

Menurutnya, susulan daripada laporan yang diterima, polis menyerbu sebuah rumah flat di Mak Mandin pada 11.30 malam Khamis dan menahan tiga lelaki yang disyaki terlibat dalam kejadian tersebut.

"Mangsa berusia 38 tahun berjaya diselamatkan. Dia ditemui dalam keadaan diikat selain mengalami luka teruk di kepala serta lebam pada seluruh badan akibat dipukul dengan kayu, playar, besi dan pemutar skru.

"Siasatan awal mendapati, mangsa dilarikan dan dipukul kerana gagal membayar hutang isteri salah seorang suspek," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara di sini pada Jumaat.

Tambahnya, kejadian yang berlaku di persimpangan lampu isyarat Jalan Sungai Nyior, Butterworth itu menjadi tular di media sosial selepas dirakam oleh pengguna jalan raya di lokasi kejadian.

"Orang awam yang menyaksikan kejadian itu menyangka seorang lelaki telah diculik tiga suspek yang menaiki sebuah kereta Proton Wira. Daripada keterangan saksi (wanita), seorang lelaki telah lari keluar daripada kereta berkenaan sambil menjerit meminta tolong.

"Bagaimanapun, dua suspek keluar daripada kereta tersebut lalu mengejar mangsa. Mereka kemudian mengikat mangsa dan membawanya masuk ke dalam kereta sebelum memecut laju," katanya.

Artikel Berkaitan:

Noorzainy berkata, siasatan mendapati tiga lelaki berusia 24 hingga 40 tahun itu telah bertemu dengan mangsa di kawasan Sungai Nyior pada jam 5.30 petang, Khamis.

"Pada pertemuan itu, mangsa berjanji untuk membayar hutang isteri kepada suspek berusia 40 tahun berkenaan iaitu sebanyak RM2,300. Bagaimanapun, dia gagal mengeluarkan wang dari banknya kerana tiada wang di dalam akaunnya.

"Perkara itu menyebabkan suspek berang lalu membawa mangsa menggunakan kereta, namun sebelum sampai di persimpangan jalan, mangsa cuba melarikan diri," katanya.

Beliau berkata, suspek utama itu baru dibebaskan daripada penjara tiga bulan lalu dan dia mendakwa mangsa turut mempunyai hubungan sulit dengan isterinya.

"Isteri suspek berusia 32 tahun dan merupakan peniaga dalam talian. Mangsa mengenali ketiga-tiga suspek malah mereka merupakan kenalan. Semua suspek mempunyai rekod lampau melibatkan jenayah dan dadah.

"Ujian air kencing mereka juga positif dadah. Mereka ditahan reman lima hari bermula hari ini (Jumaat). Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum 20 tahun penjara dan sebatan," katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan, polis menahan dua lelaki berusia 28 dan 29 tahun kerana menyamar sebagai polis sebelum melakukan samun terhadap seorang warga emas di Padang Tembusu, Penaga.

Noorzainy berkata, suspek turut membawa lari motosikal mangsa dalam kejadian pada Isnin.

"Polis menerima laporan daripada seorang warga emas bahawa dia disamun oleh dua lelaki yang mengaku sebagai polis. Susulan daripada itu, kita melancarkan operasi dan berjaya menahan dua suspek pada jam 9 malam tadi (Khamis) di Penaga.

"Kedua-dua suspek mengaku terlibat sekurang-kurangnya 10 kes menggunakan modus operandi sama sejak 10 bulan lalu iaitu menyasarkan warga emas sejak bulan lalu," katanya.

Tambahnya, polis turut merampas dua buah motosikal yang dilarikan suspek.

"Kedua-dua suspek masing-masing mempunyai tujuh serta sembilan rekod lampau melibatkan jenayah dan dadah.

"Mereka direman lima hari bagi membantu siasatan," katanya.