Chin Peng tak sentuh makanan dihidang

Rundingan Baling - Gambar kecil: Jaafar Ismail atau Pak Lang
Rundingan Baling - Gambar kecil: Jaafar Ismail atau Pak Lang
A
A
A

[LAPORAN KHAS] BALING - Mengimbau detik bersejarah Rundingan Baling, bekas tukang kebun sekolah, Jaafar Ismail, 94, berkata, hanya dia seorang dibenarkan masuk ke kawasan Baling English School yang kini dikenali sebagai Sekolah Kebangsaan Tunku Putera setelah diamanahkan menyediakan tempat rehat serta makanan kepada wakil PKM.

“Nak kata takut, tak lah sebab sekolah dikawal rapi, ada tiga lapisan pagar kawalan keselamatan, lapisan pertama dikawal oleh askar British, lapisan kedua dikawal oleh polis dan setiap pagar berjarak kira-kira 15 meter.

“Makanan yang saya letak untuk Chin Peng dalam bilik, semuanya tidak diusik selama dua hari mereka bermalam, sampai ke hari ini Pak Lang hairan depa makan apa selama tiga hari dua malam tanpa usik langsung makanan kita bagi,” katanya.

Dia bagaimanapun bersyukur kerana pernah terpilih antara ribuan rakyat menyediakan amanah itu.

Ketika peristiwa berlangsung, orang ramai berpusu-pusu di sepanjang jalan kerana semata-mata mahu menyaksikan rundingan secara dekat, namun tidak diberi kebenaran masuk ke kawasan larangan.

Berbalik kepada keadaan Galeri Putera yang rosak, menurut Jaafar, kerosakan berlaku di bilik tidur yang menempatkan Chin Peng dan rakannya, namun bilik mesyuarat Rundingan Baling yang asal masih elok.

“Bilik mesyuarat masih elok dan digunakan oleh pihak sekolah sehingga ke hari ini sebagai bilik darjah.

“Walaupun hanya bilik tidur Chin Peng, tetapi kita nak juga ia dibaik pulih dan letakkan semula bahan sejarah agar simpanan itu boleh kekal sebagai bukti sejarah negara.

Artikel Berkaitan:

“Pak Lang juga nak minta agar semak-samun di belakang galeri dibersihkan supaya tidak lagi menjadi risiko kepada pokok tumbang,” katanya.

Katanya, sejarah itu perlu dipelihara sebagai tatapan generasi cucu cicit yang akan datang.

Tidak boleh tengok sejarah dirosakkan

Pengerusi Sekretariat Badan Bertindak Veteran Angkatan Tentera Malaysia, Azizan Salleh berkata, tujuan beliau membuat pendedahan tentang kerosakan Galeri Putera bertujuan agar isu itu dipandang serius semua pihak.

“Saya tengok teruk sangat keadaannya dan tidak sepatutnya berlaku.

“Ada pihak mempertikaikan dakwaan saya dengan mengatakan kerosakan hanya berlaku di tempat tidur Chin Peng yang kini dijadikan Galeri Putera, namun bilik tidur itu juga adalah satu sejarah serta tidak patut kita lupakan sebegitu sahaja.

“Apa yang menjadi kemarahan saya ialah semua bahan sejarah termasuk katil, gambar, dokumen serta bahan pameran dikumpulkan di Galeri Putera, jadi sudah pasti ia turut rosak, menjadi tanggungjawab untuk memelihara kesemua khazanah itu, bukan dibiarkan usang,” katanya.

Menurut Azizan, sebelum ini, beliau difahamkan galeri tersebut sering menjadi lokasi persinggahan pelancong bagaimanapun, sejak ditutup lima tahun lalu, kawasan itu dibiarkan tanpa pengawasan dan tidak terjaga.

Gambar kenangan dalam simpanan Jaafar menunjukkan orang ramai berpusu-pusu ingin menyaksikan Rundingan Baling pada tahun 1955.
Gambar kenangan dalam simpanan Jaafar menunjukkan orang ramai berpusu-pusu ingin menyaksikan Rundingan Baling pada tahun 1955.

“Selepas isu ini tular, saya juga ada menerima kenyataan bahawa terdapat peruntukan RM250,000 untuk proses baik pulih, di mana duit itu, ke mana?

“Mesej yang saya cuba sampaikan ialah kesan dari sejarah Rundingan Baling itu apa yang berlaku, fakta tentang itu ada di sini.

“Kita juga nak semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Malaysia terus kekal utuh demi kemakmuran negara, benda-benda sejarah sebeginilah patut kita tonjolkan,”katanya.

Diwartakan sebagai Warisan Negara pada tahun 2016

Jabatan Warisan Negara dalam satu penjelasan melalui media sosial Facebook jabatan itu bertarikh 8 Januari lalu memaklumkan bahawa Galeri Putera di Baling telah diwartakan pada 28 Disember 2016 sebagai salah satu warisan negara.

Pesuruhjaya Warisan, Mesran Mohd Yusop berkata, apabila sesebuah bangunan diwartakan, ia terikat kepada Akta Warisan Kebangsaan iaitu pemilik bangunan hendaklah memastikan ia berada dalam keadaan baik dalam integriti asal.

Menurutnya, kajian kerosakan telah dibuat pada hujung tahun lepas dan kini telah dipanjangkan kepada pihak berkaitan bagi proses permohonan sumber kewangan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara, Muda Bahadin berkata, sekiranya proses baik pulih melibatkan struktur serta berskala besar, penglibatan konservatif untuk menasihati pihak pelaksana perlu, agar dapat memastikan kualiti integriti bangunan tidak terganggu kerana tidak boleh sewenang-wenangnya menukar kayu, mengecat, dan sebagainya kerana terdapat garis panduan yang perlu dipatuhi.

Bagaimanapun, Jabatan Warisan mengalu-alukan mana-mana pihak yang ingin turut serta dalam proses baik pulih agar tampil, mengambil kira signifikan mengekalkan sejarah itu bukan sahaja kepentingan untuk daerah Baling malah sejarah negara.

Hasrat wujud galeri sebenar

Pegawai Daerah Baling, Mohd Shahadan Abdullah berkata, terdapat usaha untuk membaiki kerosakan Galeri Putera di Baling sebelum ini, namun material asal perlu dikekalkan bagi memastikan keaslian terpelihara.

“Kesukaran itu membuatkan proses baik pulih tidak dapat dilaksanakan.

Keadaan Galeri Putera yang mengalami kerosakan dikatakan akibat ditimpa pokok.
Keadaan Galeri Putera yang mengalami kerosakan dikatakan akibat ditimpa pokok.

“Bagaimanapun, kita akan memanggil kesemua pihak bermesyuarat termasuk jabatan berkaitan dalam usaha pemulihan.

“Kita berhasrat mewujudkan galeri sebenar seperti meletakkan kedudukan kerusi dan meja ke tempat asal.

“Projek ini sudah pasti memerlukan kerjasama banyak pihak terutama pihak warisan dan muzium serta memerlukan masa serta kos tertentu,” jelasnya.

Beliau berharap agar isu itu dapat diselesaikan bagi mengembalikan sejarah negara selain menghargai jasa dan pengorbanan tokoh negarawan terulung, Tunku Abdul Rahman dalam memperjuangkan kemerdekaan.

INFO

Rundingan Baling 1955 berlangsung pada 28 dan 29 Disember 1955, Rabu dan Khamis bersamaan 13 dan 14 Jamadilawal 1375 antara dua pihak iaitu Kerajaan Perikatan diwakili Tunku Abdul Rahman Putra, Tun Tan Cheng Lock dan David Marshall manakala Parti Komunis Malaya (PKM) diwakili Chin Peng, Chien Tien dan Rashid Maidin.

Rundingan antara kedua-dua pasukan itu berlangsung di Baling English School yang kini ditukar nama kepada Sekolah Kebangsaan Tunku Putera, antaranya bertujuan menawarkan pengampunan kepada komunis sekiranya mereka berundur.

Dalam perbincangan berkenaan, Chin Peng berjanji akan meletakkan senjata sekiranya kerajaan mengiktiraf mereka, bagaimanapun Tunku Abdul Rahman tidak bersetuju dan meminta mereka menyerah kalah.

Bagaimanapun, tiada kata sepakat dicapai kerana PKM enggan menerima pelan damai kerajaan, membolehkan mereka kembali ke hutan dan meneruskan gerakan bersenjata.