X

Kindly register in order to view this article
!

Ahli Parlimen mohon perkenan Agong tarik semula darurat

HASANUDDIN
A
A

SHAH ALAM - Pengumuman proklamasi darurat bermula 11 Januari sehingga 1 Ogos ini untuk menangani pandemik Covid-19 amat mencurigakan, kata Ahli Parlimen Hulu Langat, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus.

Beliau berkata, ia berikutan Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak mempunyai keabsahan sebagai Perdana Menteri kerana sudah hilang majoriti di Parlimen selepas penarikan sokongan secara terbuka beberapa ahli Parlimen yang bersamanya.

"Tanpa majoriti ini, Muhyiddin tidak ada hak untuk meminta kuasa-kuasa darurat daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kerana ini secara langsung memusatkan kuasa kepada seorang yang tidak ada hak sama sekali.

"Apabila Muhyiddin diberikan kuasa-kuasa darurat ketika tidak lagi berhak menjadi Perdana Menteri, maka ini membawa kepada penghakisan dan berkemungkinan menghapus sama sekali sistem demokrasi yang kita pegang sejak merdeka," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, tindakan Muhyiddin itu juga akan membawa kepada wujudnya kerajaan autokrasi dan kepimpinan diktator, sekali gus memberi kesan amat negatif kepada ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat serta imej buruk di mata masyarakat antarabangsa.

Menurutnya, perisytiharan darurat tidak diperlukan sama sekali di Malaysia kerana kuasa dan peruntukan pentadbiran sudah lebih memadai untuk melaksanakan perintah-perintah dan perancangan kerajaan bagi menangani Covid-19.

Malah, katanya, rakyat Malaysia tidak membantah arahan kerajaan sebelum ini dan amat jelas pengisytiharan darurat itu adalah kelangsungan politik Muhyiddin untuk kekal setelah hilang majoriti.

"Di atas kesedaran ini, kami rakyat Malaysia yang menandatangani deklarasi ini secara sukarela dan bertanggungjawab sepenuhnya merafak sembah dan memohon kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu untuk memperkenan penarikan semula perisytiharan darurat tersebut," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!