Maritim Malaysia tahan bot tunda berlabuh tanpa kebenaran

Bot tunda yang berdaftar di Indonesia ditahan kerana berlabuh tanpa kebenaran di Perairan Tanjung Bidara pada Rabu.
Bot tunda yang berdaftar di Indonesia ditahan kerana berlabuh tanpa kebenaran di Perairan Tanjung Bidara pada Rabu.
A
A
A

ALOR GAJAH - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Melaka dan Negeri Sembilan menahan sebuah bot tunda kerana berlabuh tanpa kebenaran di Perairan Tanjung Bidara di sini pada Rabu.

Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Kapten Maritim Haris Fadzillah Abdullah berkata, bot tunda yang berdaftar di Indonesia itu ditahan sekitar jam 5.30 petang di kedudukan lebih kurang 3 batu nautika Barat Daya dari Tanjung Bidara.

Menurutnya, kapal yang dikendalikan lapan orang kru warga Indonesia berusia antara 20 hingga 55 tahun ditahan oleh bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan pemantauan penguatkuasaan terhadap kapal-kapal yang berlabuh di kawasan perairan itu.

"Ketika diperiksa nakhoda kapal gagal mengemukakan sebarang kebenaran bersauh dalam perairan Malaysia dari Pengarah Jabatan Laut Malaysia.

"Bot tunda yang berlabuh di luar batas pelabuhan Melaka itu juga disyaki telah menyebabkan kerosakan kabel dasar laut," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Beliau berkata, bot terbabit melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan kes telah diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Ibu Pejabat Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan untuk tindakan lanjut.

"Kita akan terus mempergiatkan lagi kerjasama yang baik dengan agensi kerajaan berkaitan dalam operasi penguatkuasaan bagi membanteras dan menyekat aktiviti jenayah di perairan Melaka dan Negeri Sembilan," katanya.

Orang ramai diminta agar menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah dan kecemasan di laut menerusi Pusat Operasi Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan di talian 06-3876730 dan MERS 999 yang beroperasi secara 24 jam.

Artikel Berkaitan: