Jawatankuasa Pilihan Hak Asasi, Kesaksamaan Gender, mesyuarat kali pertama

Nor Azrina Surip
Nor Azrina Surip
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mesyuarat pertama Jawatankuasa Pilihan Hak Asasi dan Kesaksamaan Gender, Parlimen Malaysia hari ini membincangkan terma rujukan Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi dan Kesaksamaan Gender serta cadangan rangka kerjanya bagi tahun 2019.

Pengerusinya Nor Azrina Surip berkata mesyuarat itu disertai Ahli Parlimen Klang Charles Anthony Santiago, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (Lembah Pantai), Kasthuriraani A/P Patto (Batu Kawan), Ma’mun Sulaiman (Kalabakan), Datin Mastura Mohd Yazid (Kuala Kangsar) dan Siti Zailah Mohd Yusoff (Rantau Panjang).

"Jawatankuasa ini merupakan Jawatankuasa Pilihan Khas ketiga yang mengadakan mesyuarat sejak ia ditubuhkan bersama-sama lima Jawatankuasa Pilihan Khas yang lain," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Nor Azrina yang juga Ahli Parlimen Merbok berkata mesyuarat turut dihadiri pegawai daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; Jabatan Peguam Negara; Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) dan Kementerian Kewangan yang bertindak sebagai wakil tetap (ex-officio).

Menurut Nor Azrina, jawatankuasa itu akan mengadakan mesyuarat kali kedua pada 4 Mac bagi pembentangan taklimat “Ke Arah Pewujudan Akta Gangguan Seksual dan Akta Kesaksamaan Gender” daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan taklimat “Isu-Isu Utama Dalam Laporan Tahunan SUHAKAM” daripada SUHAKAM. - Bernama

Artikel Berkaitan: