17 sekeluarga tinggal di rumah usang

Che Soh bersama keluarga yang tinggal di sebuah rumah pusaka usang milik keluarga isteri, Jamilah Ramli, 44, di Kampung Tasik, Jalan PCB di Kota Bharu.
Che Soh bersama keluarga yang tinggal di sebuah rumah pusaka usang milik keluarga isteri, Jamilah Ramli, 44, di Kampung Tasik, Jalan PCB di Kota Bharu.
A
A
A

KOTA BHARU - Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Itulah yang dilalui 17 sekeluarga di Kampung Tasik, Jalan PCB di sini yang berdepan kesempitan hidup sehingga terpaksa tinggal sebuah rumah pusaka usang dan tidak selamat untuk diduduki.

Salah seorang daripada mereka, Che Soh Jaafar, 61, berkata, rumah pusaka itu milik keluarga isterinya, Jamilah Ramli, 44, yang kini dikongsi bersama saudara wanita itu terdiri daripada 10 dewasa serta tujuh kanak-kanak berusia dua hingga 61 tahun.

“Mereka ialah tiga adik-beradik Jamilah yang mana dua sudah bekeluarga dan mempunyai anak dua sehingga tiga orang.

“Turut tinggal bersama Jamilah ialah tiga sepupu yang dijaga oleh arwah ibunya sebelum ini kerana ibu bapa mereka meninggal dunia.

“Seorangnya adalah lelaki berusia 24 tahun yang sudah berkahwin dan mempunyai dua anak,” katanya ketika ditemui di ruma berkenaan pada Rabu.

Che Soh berkata, paling menyedihkan ialah rantai rumah berkenaan sudah reput dan berlubang kesan ditenggelami banjir kedua paling teruk dalam sejarah iaitu pada tahun 2014.

Bahagian atas rumah ini berlubang dan tidak berdinding selain tidak boleh digunakan kerana dibimbangi runtuh apabila dipijak.
Bahagian atas rumah ini berlubang dan tidak berdinding selain tidak boleh digunakan kerana dibimbangi runtuh apabila dipijak.

Katanya, kerosakan itu menyebabkan mereka mengalas lantai reput itu dengan tikar getah untuk mengelakkan risiko jika dipijak.

Artikel Berkaitan:

“Kami terpaksa pijak lantai ini secara berhati-hati. Kalau budak-budak memang sudah terbiasa cedera terjatuh ke tanah di bahagian bawah rumah. Kami yang dewasa ini pun selalu cedera lebam dan calar kerana terperosok dalam lubang.

“Rumah ini ada empat bilik tetapi ada yang tidur di ruang tamu pada bahagian lantai reput kerana sudah tidak ada tempat lain di dalam rumah itu.

“Kami juga tidak mempunyai wang yang cukup untuk membaik pulih rumah ini kerana masing-masing kerja kais pagi makan pagi, kais petang makan petang,” katanya.

Lebih menyedihkan, bekas guru tersebut berkata, dia sendiri tidak mempunyai pendapatan dan hanya mengharapkan bantuan anak-anak hasil perkahwinan bersama dua isterinya sebelum ini.

“Mereka yang lain hanya bekerja sebagai buruh binaan dengan pendapatan tidak menentu iaitu RM50 sehari. Kami berkongsi satu tandas.

“Kalau hendak makan, isteri masing-masing masak, masing-masing makan. Kalau kehabisan gas, ramai-ramai kumpul duit. Sama juga bayaran bil elektrik dan air,” katanya.

Lantai berlubang jadi tempat permainan.
Lantai berlubang jadi tempat permainan.

Sementara itu, sepupu Jamilah, Nur Syahida Moktar, 24, berkata, dia sebelum ini bekerja sebagai tukang cuci, namun kontrak majikannya tamat.

Isteri kepada Mohd Khairul Ikhwan Deraman, 24, itu berkata, dia tidak ada pekerjaan sehingga kini selain sukar untuk meninggalkan anak-anak yang berusia tiga dan enam tahun kerana tiada penjaga.

“Nak pindah rumah sewa pun kami tidak mampu. Sebab itulah kami masih lagi menumpang di rumah pusaka arwah ibu saudara suami ini.

“Saya sangat berharap agar ada yang sudi membantu kami untuk membaiki rumah ini terutama menggantikan bahagian lantai reput yang berbahaya itu serta membaiki atap-atap yang bocor,” katanya.

Bagi mereka yang ingin membantu boleh menyalurkan bantuan kepada akaun 0301-0411-0005-3156 (Bank Simpanan Nasional) atas nama Jamilah Ramli, atau menghubunginya di talian 013 -7373701.

Bahagian lantai ditutup dengan tikar getah bagi mengelak risiko jika terpijak.
Bahagian lantai ditutup dengan tikar getah bagi mengelak risiko jika terpijak.