Ahli Parlimen PH bantah penutupan taman awam di Kuala Lumpur

Taman-taman awam di Kuala Lumpur ditutup sepanjang PKP.
Taman-taman awam di Kuala Lumpur ditutup sepanjang PKP.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) Wilayah Persekutuan membantah tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menutup semua taman awam sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa.

Menerusi satu kenyataan bersama pada Rabu, ahli-ahli Parlimen terlibat berkata, langkah DBKL itu adalah tidak selari dengan pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini yang menyatakan bahawa rakyat diberi kebenaran meninggalkan rumah untuk beriadah dengan anggota keluarga bagi menjalankan aktiviti sukan seperti joging dan berbasikal.

Katanya, taman-taman awam di Kuala Lumpur adalah lokasi yang bersesuaian untuk beriadah mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Malah semua taman ini juga terletak berhampiran atau bersebelahan kawasan perumahan.

"Demi keselamatan dan kesihatan mental warga Kuala Lumpur, kami mohon agar DBKL mempertimbangkan semula keputusan ini dan segera berbincang dengan MKN bagi menetapkan SOP lebih ketat," kata kenyataan itu.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai; Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil; Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok; Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad; Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun; Ahli Parlimen Wangsa Maju, Datin Paduka Dr Tan Yee Kew; Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh; Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng dan Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran.

Sebelum ini, Muhyiddin menerusi pengumuman khas memaklumkan mengenai pelaksanaan PKP di beberapa negeri bermula 13-26 Januari susulan peningkatan kes Covid-19.

Susulan itu, DBKL menerusi kemas kini di laman Facebook pada Rabu turut mengumumkan penutupan taman-taman awam seliaan mereka selaras dengan penguatkuasaan PKP itu sehingga ke satu tarikh diumumkan kelak.

Artikel Berkaitan:

Antara taman-taman awam seliaan DBKL yang ditutup ialah Taman Botani Perdana, Taman Awam Bukit Kiara, Taman Tasik Titiwangsa, Taman Tasik Manjalara dan Taman Tasik Metropolitan Kepong.