MAFI lancar Pasar Mini NEKMart

Ahmad (tengah) yang mewakili Ronald menunjukkan isyarat bagus ketika lawatannya di Pasar Mini NEKMart Taman Wahyu pada Selasa.
Ahmad (tengah) yang mewakili Ronald menunjukkan isyarat bagus ketika lawatannya di Pasar Mini NEKMart Taman Wahyu pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) pada Selasa melancarkan Pasar Mini NEKMart hasil inisiatif Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat).

Program jualan ikan segar di Taman Wahyu itu telah menarik minat pelanggan dari Lembah Klang termasuk penduduk berdekatan sekitar Shah Alam, Bangi, Putrajaya, Rawang dan Cheras.

Menteri MAFI, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, jualan ikan segar yang bermula pada 17 Mac tahun lalu mendapat sambutan yang menggalakkan.

“Kita harap Pasar Mini NEKMart ini juga dapat membantu usahawan bimbingan MAFI dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) terutama persatuan nelayan dan kawasan, usahawan bumiputera dan Industri Kecil Sederhana (IKS) yang turut terjejas akibat Covid-19.

“Pasar mini NEKMart ini bukan sahaja membantu usahawan untuk menjual produk makanan malah berfungsi sebagai pusat pengumpulan dan pengedaran produk mereka,” katanya ketika berucap melancarkan pasar mini berkenaan di Kompleks Bilik Sejuk Beku Nekmat Taman Wahyu.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri MAFI I, Datuk Seri Ahmad Hamzah.

Ronald menambah, pelancaran pasar berkenaan merupakan satu inisiatif dan langkah ke hadapan Nekmat bagi memudahkan pelanggan mendapatkan keperluan makanan harian.

Ronald berkata, MAFI memainkan peranan penting memastikan kesinambungan bekalan makanan negara kekal terjamin sepanjang tempoh pelaksanaan PKP.

Artikel Berkaitan:

“Kejayaan negara kita dalam mengatasi gangguan bekalan makanan ketika mengharungi pandemik Covid-19 merupakan hasil usaha dan sokongan padu peladang, penternak dan nelayan kita.

“Peranan anda sebagai barisan hadapan khususnya dalam membantu meneruskan semua aktiviti dan rantaian makanan semasa kita berhadapan krisis penularan Covid-19 di tahun 2020 bukan sahaja telah dapat mengurangkan kesan terhadap ekonomi malah menyelamatkan sektor pertanian dan industri makanan negara,” katanya.