X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 29 Oktober 2021

PKP: Walaupun perit, peniaga akur tutup kedai

Ainul melayani pelanggan yang datang ke kedainya ketika tinjauan pada waktu petang di Medan Samudera, Bandar Hilir, Melaka pada Selasa. - Foto Bernama
A
A

MELAKA - Lembayung jingga mula melabuhkan tirai menandakan hari mulai malam namun masih ada peniaga di destinasi pelancongan terkenal Banda Hilir di sini yang setia menunggu pelanggan terakhir sebelum menutup perniagaan.

Perjuangan mereka untuk mencari nafkah akan terhenti tepat 12.01 tengah malam ini selama dua minggu susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin.

Tinjauan Bernama di lokasi pelancongan terkenal di Banda Hilir mendapati ada juga peniaga yang menutup kedai lebih awal berikutan jumlah pelancong mulai berkurangan selepas pengumuman itu.

Walaupun perit untuk ditelan namun Ainul Shamsudin, 35, reda menerima keputusan kerajaan demi keselamatan semua meskipun masih belum jelas bagaimana beliau akan mengharungi tempoh dua minggu yang disifatkannya amat mencabar.

Sepanjang pelaksanaan PKP dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tahun lepas, beliau terpaksa menanggung kerugian hampir RM20,000 kerana pelbagai jenis makanan dan kuih-muih tradisional yang dijual rosak serta terpaksa dibuang.

"Biasanya makanan yang dijual hanya bertahan antara dua hingga tiga minggu. Saya terpaksa sedekah sebahagian daripada jualan kepada jiran dan kenalan, manakala yang rosak terpaksa dilupuskan.

"Disebabkan situasi kedatangan pelancongan yang tidak stabil, saya memang tidak mengambil barang jualan lebih banyak sejak Disember tahun lepas untuk bersedia dengan sebarang kemungkinan," katanya ketika ditemui Bernama di sini petang Selasa.

Ainul, yang telah berniaga lebih 10 tahun di situ berkata, walaupun terhimpit dengan keadaan itu namun beliau bersyukur kerana menerima sokongan daripada keluarga untuk terus bertahan dan berharap situasi kembali pulih dengan segera.

Berbeza dengan Nor Haslinda Ani, 39, yang mula mengubah aktiviti perniagaannya kepada platform dalam talian untuk menambah pendapatan bagi menyara keluarga.

"Walaupun tidak banyak tetapi jualan pakaian ini bolehlah sedikit sebanyak menampung pendapatan yang terjejas kerana kedai di kawasan ini tidak boleh dibuka untuk pelancongan," katanya.

Munirati Omar, 33, pula berkata, beliau turut memanfaatkan media sosial seperti akaun Facebook dan aplikasi WhatsApp untuk menjual serta menerima tempahan kuih-muih bagi menambah pendapatan. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!