Olimpik 2024: Masih ada peluang Kian Meng-Pei Jing

Beregu campuran profesional negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing masih mempunyai peluang untuk merebut slot ke Sukan Olimpik Paris 2024 andai tampil aksi konsisten dalam beberapa siri kejohanan Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia.
Beregu campuran profesional negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing masih mempunyai peluang untuk merebut slot ke Sukan Olimpik Paris 2024 andai tampil aksi konsisten dalam beberapa siri kejohanan Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia.
A
A
A

BEREGU campuran profesional negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing masih mempunyai peluang untuk merebut slot ke Sukan Olimpik Paris 2024 andai menampilkan aksi konsisten dalam beberapa siri kejohanan Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Bekas pemain campuran negara, Goh Liu Ying berkata, masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan berhubung prestasi merudum juara Terbuka Korea 2022 itu sehingga terpaksa akur berada di ranking ke-18 dunia ketika ini.

Kian Meng-Pei Jing sebelum ini pernah menghuni tangga kelima dunia pada Disember lepas serta tersenarai dalam Projek Road To Gold (RTG).

"Belum sampai masa kelayakan ke Sukan Olimpik ditutup, jadi saya rasa ketiga-tiga beregu negara ketika ini mempunyai peluang sama rata. Saya rasa tahap keyakinan mereka (Kian Meng-Pei Jing) juga mesti jatuh kerana tahun ini mereka langsung tidak pernah sampai suku akhir kejohanan.

"Jadi dalam masa singkat ini mereka perlu berusaha untuk kembali dalam prestasi terbaik,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Kejohanan Badminton 3v3 Profesional Pertama di Malaysia di sini pada Jumaat.

Sementara, dua lagi beregu negara semakin menunjukkan peningkatan iaitu Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang baru digandingkan November lepas, kini menghuni ranking ke-17 dunia telah mencipta sensasi menjuarai Cabaran Antarabangsa Bangladesh 2022 dan Kejohanan Orleans Masters 2023.

Beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai pula menduduki posisi kelapan dunia dan turut berada dalam RTG.

Mengikut format badminton Olimpik, setiap negara boleh diwakili maksimum dua beregu, sekiranya kedua-dua mereka menduduki ranking lapan terbaik dalam kempen kelayakan Sukan Olimpik 2024, yang sudah bermula 1 Mei lepas.

Sementara itu, Liu Ying ketika diminta mengulas mengenai hasrat pemain perseorangan lelaki utama negara Lee Zii Jia untuk berehat seketika daripada arena badminton berkata, beliau tidak boleh menggantung raket terlalu lama sekiranya mahu mengumpul mata kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2016 itu berkata Juara All England 2021 itu perlu mencari punca permasalahan yang membelenggu dirinya supaya mampu kembali ke prestasi cemerlangnya.

Turut mempunyai pendapat sama ialah bekas pemain beregu negara Tan Boon Heong, yang merasakan Zii Jia boleh berehat daripada dua atau tiga kejohanan sebelum kembali bertanding.

Dua hari lepas, Zii Jia tewas seawal pusingan pertama kejohanan Terbuka Indonesia 2023 kepada pemain India Lakshya Sen 17-21, 13-21, di Stadium Istora Senayan.

Selepas kekalahan itu, Zii Jia mengumumkan beliau mengambil keputusan untuk berehat sementara daripada menyertai sebarang kejohanan badminton, namun tidak mendedahkan berapa lama tempoh rehat yang akan diambil beliau. - Bernama