Roboh gerai: Noh hantar surat sedia dialog dengan MB

Noh memuat naik status di Facebook beliau pada Selasa.
Noh memuat naik status di Facebook beliau pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar sudah menghantar surat kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari untuk mengadakan sesi pertemuan dan dialog berhubung isu perobohan gerai penjaja di Bulatan Puchong Permai.

Noh berkata, beliau telah menghantar surat kepada Amirudin berhubung perkara itu pada pagi Selasa.

"Surat tersebut telah diterima pejabat beliau, (namun) tarikh, masa dan tempat saya serahkan kepada Menteri Besar untuk tentukan. Saya akan hadir," katanya yang memuat naik status di Facebooknya pada Selasa.

Semalam Sinar Harian melaporkan, Amirudin bersedia berjumpa dengan Noh untuk berdialog berhubung tindakan perobohan gerai terbabit.

“Setakat ini tiada perjumpaan pun. Kalau beliau (Noh) hendak jumpa saya tiada masalah,” katanya.

Sinar Harian pada 30 Disember lalu melaporkan, Noh mencabar Amirudin untuk berdialog berhubung tindakan perobohan gerai oleh Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) di Jalan Taqwa, Persiaran Puchong Permai.

Noh berkata, cabaran dialog itu dibuat berikutan beliau dan peniaga gerai berkenaan akan turun ke MBSJ pada Khamis ini untuk berbincang dengan Datuk Bandar berhubung status perobohan gerai itu.

Artikel Berkaitan: