Segera pulihkan fungsi Perlembagaan sejurus darurat

Ahmad Zahid Hamidi
Ahmad Zahid Hamidi
A
A
A

SHAH ALAM - UMNO menggesa kerajaan supaya segera mengembalikan dan memulihkan fungsi Perlembagaan serta amalan demokrasi berparlimen sejurus darurat yang diproklamasikan mencapai matlamatnya.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenaan pengisytiharan darurat di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, memandangkan rasional yang dikemukakan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam memohon perintah darurat hanyalah untuk menguruskan pandemik Covid-19, maka segala kuasa di bawah Ordinan Darurat hendaklah tertumpu kepada urusan pengawalan wabak semata-mata.

“Sepanjang darurat berlangsung, UMNO berharap prinsip hak asasi manusia, kebebasan sivil, ketelusan dan kedaulatan undang-undang harus tetap dipelihara.,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, kerajaan harus mengambil berat terhadap kepentingan rakyat dan mengotakan janji bagi menyelesaikan isu-isu yang menyentuh kelangsungan hidup mereka.

“Ini termasuklah tuntutan berkenaan pengeluaran i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tanpa syarat, lanjutan moratorium dan kemaslahatan rakyat secara keseluruhannya,” katanya.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong memperkenankan tempoh pelaksanaan darurat hingga 1 Ogos depan atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif pandemik Covid-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Perkenan tersebut diberikan selepas perdana menteri menyembah maklum keputusan Mesyuarat Jemaah Kabinet dan mengambil kira rundingan Seri Paduka Baginda dengan Raja-Raja Melayu pada Isnin.

Artikel Berkaitan: