Rentas negeri untuk kes tertentu perlu kebenaran polis

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
A
A
A
KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Kelonggaran pergerakan rentas negeri dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula tengah malam ini akan diberikan bagi kes-kes tertentu di seluruh negara dengan syarat utama perlu mendapatkan kebenaran pihak Polis Diraja Malaysia.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini termasuklah mereka yang terkandas di kampung, yang telah membeli tiket penerbangan atau tiket bas ekspres masing-masing.

"Mereka dibenarkan meneruskan perjalanan. Kelonggaran hanya diberi kepada mereka yang mempunyai sebab tertentu, ada yang melawat keluarga sakit di hospital, kes-kes tertentu seperti ini dibenarkan jadi jangan bimbang kalau terperangkap di kampung,” katanya pada sidang akhbar di sini pada Selasa.

Beliau seterusnya meminta mereka yang masih terkandas di mana-mana kampung, untuk pulang segera selewat-lewatnya Jumaat ini.

“Ini supaya tidak ada sekatan pergerakan yang tak membenarkan mereka pulang dan akhirnya (mungkin mereka) terpaksa berada di kampung untuk tempoh dua minggu lagi,” katanya.

PKP akan dilaksana di Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor serta Sabah, manakala PKP Bersyarat (PKPB) pula akan dilaksanakan di Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu serta Kelantan, dan PKP Pemulihan (PKPP) di Perlis serta Sarawak.

Sementara itu ditanya berhubung pergerakan bantuan kemanusiaan ke kawasan banjir, Ismail Sabri berkata, ia dibenarkan hanya dengan kebenaran polis.

Bagi pasangan suami isteri yang tinggal berjauhan, beliau berkata, larangan rentas negeri bagi mereka masih kekal, dan beliau meminta mereka supaya bersabar buat masa ini.

Mengenai persidangan dan mesyuarat yang melibatkan ahli politik dan VVIP, beliau berkata, mereka turut tertakluk kepada SOP PKP, PKPB serta PKPP, dan mereka disaran mengadakan perjumpaan atau mesyuarat secara maya.
Artikel Berkaitan:


Sementara itu Ismail Sabri berkata, anggota media tidak perlu risau sekiranya perlu melalui sekatan jalan raya kerana kerajaan membenarkan sektor perkhidmatan penting untuk bekerja dan mereka hanya perlu menunjukkan surat kebenaran bertugas dan pas pekerjaan mereka. -Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: PKP 2.0 libatkan enam negeri mulai 13 Januari

Tiada kompromi PKP kali ini: KPN