Trump isytihar darurat berita palsu

Kenyataan palsu itu mendakwa kononnya Trump telah menggunakan Akta Pemberontakan 1807 untuk mengekalkan kuasa. - Foto: Agensi
Kenyataan palsu itu mendakwa kononnya Trump telah menggunakan Akta Pemberontakan 1807 untuk mengekalkan kuasa. - Foto: Agensi
A
A
A

WASHINGTON - Akaun @TeamTrumpNews telah menyebarkan kenyataan palsu yang mendakwa kononnya Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengisytiharkan darurat di Washington bagi memastikan beliau kekal memegang tampuk pemerintahan di Rumah Putih selepas berdepan desakan untuk berundur.

Berita palsu yang dikongsi @TeamTrumpNews pada Ahad menerusi rangkaian media sosial Parler itu seolah-olah memaparkan kenyataan yang dikeluarkan sendiri oleh Trump.

"Saya telah menggunakan Akta Pemberontakan 1807 itu untuk menangani tentangan anggota Demokrat dan Republikan, ejen CCP, FBI, DOJ, CIA serta lain-lain yang cuba untuk melemahkan dan menjejaskan Amerika Syarikat dan Perlembagaan.

"Kesemua entiti itu mencetuskan ancaman kepada keselamatan negara. Saya akan kekal sebagai Presiden AS sehingga kesemua musuh domestik ditahan," ujar kenyataan itu yang kini tersebar meluas.

Susulan penyebaran kenyataan palsu berhubung penggunaan Akta Pemberontakan 1807 secara rahsia itu, platform Parler tersebut telah digantung manakala akaun @TeamTrumpNews itu disahkan bukan milik Trump.

Hasil tinjauan Reuters pada Khamis lalu mendapati Trump tidak pernah membuka akaun peribadi di Parler kecuali kempen beliau yang menggunakan akaun @TeamTrump sejak Disember 2018.

Ketika ini, terdapat spekulasi yang mendakwa akaun itu dibuat selepas bilionair hartanah terbabit tidak lagi mempunyai akses kepada media sosial termasuk Twitter yang menggantung akaun peribadi beliau, @realDonaldTrump secara kekal pada Jumaat lalu.

Berita palsu itu turut mendakwa memperoleh maklumat itu daripada 'beberapa sumber', namun dakwaan itu sehingga kini tidak mendapat pengesahan rasmi daripada Jabatan Negara AS, tentera atau Rumah Putih.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan, Akta Pemberontakan 1807 itu membolehkan Presiden AS mengerahkan pasukan tentera untuk menghadapi pemberontakan dalam negara dan ia pernah digunakan untuk menangani rusuhan awam.

Kali terakhir undang-undang berusia 200 tahun itu digunakan adalah pada 1992 ketika pembebasan empat anggota polis Los Angeles yang didakwa memukul lelaki kulit hitam, Rodney King hingga mencetuskan rusuhan ganas.

Pada akhir bulan lalu, bekas Penasihat Keselamatan Rumah Putih, Michael Flynn pernah mencadangkan penggunaan akta itu untuk membatalkan keputusan Pilihan Raya Presiden AS, namun ia segera ditolak.

Setiausaha Tentera, Ryan McCarthy dan Ketua Turus, Jeneral James McConville menegaskan, tentera AS tidak mempunyai peranan untuk menentukan keputusan pilihan raya. - Agensi