Pulau Pinang cadang buka dua lagi pusat kuarantin Covid-19

Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Kompleks Sukan Balik Pulau, Pulau Pinang yang didakwa sesak dengan pesakit.
Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Kompleks Sukan Balik Pulau, Pulau Pinang yang didakwa sesak dengan pesakit.
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang mencadangkan agar Pusat Kecemerlangan Mara (MEC) di Jawi dan Tapak Pesta Pulau Pinang di Sungai Nibong di sini dijadikan sebagai Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC).

Ketua Menteri Pu, Chow Kon Yeow berkata, cadangan itu diusulkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) Pulau Pinang Perintah Kawalan Pergerakan Menangani Wabak Covid-19 pada Selasa.

Beliau yang mempengerusikan mesyuarat itu berkata, perkara berhubung cadangan berkenaan telah dipanjangkan kepada Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dengan permohonan peruntukan tambahan di bawah Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara.

"Kita menghadapi cabaran lebih getir kini apabila berhadapan dengan gelombang ketiga pandemik Covid-19 yang mana kes dilaporkan di negeri ini telah mencecah tiga angka pada penghujung tahun lalu.

"Kedua-dua lokasi yang dicadangkan ini masing-masing mampu menempatkan 1,000 pesakit," katanya menerusi satu kenyataan di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, sehingga Isnin, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) telah melaporkan bahawa terdapat lapan kluster aktif di Pulau Pinang.

Katanya, rakyat negeri ini perlu memberikan kerjasama penuh demi menjayakan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam tempoh dua minggu ini iaitu mulai esok, 13 Januari hingga 26 Januari 2021.

"Kita perlu faham bahawa PKP amat diperlukan apabila terdapat penambahan kes secara mendadak sehingga hampir melumpuhkan sistem perubatan awam negara ketika ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan sama, Kon Yeow berkata, JKNPP diminta mengutarakan kepada pihak kementerian berhubung inisiatif pihak swasta di negeri ini antaranya, Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) Pulau Pinang yang menyatakan persetujuan untuk menjalankan saringan dalam kalangan pekerja mereka.

Tambahnya, kira-kira 100 klinik swasta di bawah Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Pulau Pinang (PMPS) bersedia menawarkan khidmat suntikan vaksin Covid-19 secara percuma kepada penduduk di negeri ini.

Mengulas mengenai penguatkuasaan PKP di negeri ini, Kon Yeow berkata, sebanyak 39 Sekatan Jalan Raya (SJR) membabitkan 1,142 anggota akan dijalankan oleh pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang bertugas sepanjang tempoh pelaksanaan perintah ini.