'Bagaikan mimpi terima kunjungan Sultan Kedah'

A
A
A

ALOR SETAR - Seorang bekas anggota tentera kurang upaya, Jasni Othman, 61 bagaikan bermimpi apabila Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berkenan berangkat menziarahinya di Taman Kita, di sini semalam.

Turut hadir adalah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Ammar Shaikh Mahmood Naim dan Yang Dipertua Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Kedah, Kapt (B) Datuk Yusof Yaacob.

Jasni berkata, beliau bagaikan tidak percaya apabila dimaklumkan bahawa Sultan Sallehudin berkenan mencemar duli untuk berangkat ke kediamannya sehari sebelumnya.

"Saya bersyukur kerana Sultan Kedah pemimpin berjiwa rakyat dan mengambil berat. Saya pun terkejut, rasa bagai mimpi kerana tidak sangka dikunjungi tuanku, malah turut mendapat perhatian MB Kedah.

"Sepanjang pertemuan itu, kami banyak berkongsi kisah-kisah lama kerana Sultan Kedah juga pernah berkhidmat dan merasai suasana sebagai seorang tentera suatu ketika dahulu," katanya.

Beliau yang kudung kaki kiri kerana terkena jerangkap samar dalam satu operasi di Hutan Gubir, Perak pada 1986 ketika berusia 27 kini disahkan pula menghidap kanser darah.

Bapa kepada empat orang anak ini juga menerima bantuan kit kotak makanan dari Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) bagi meringankan beban yang ditanggung Jasni serta keluarga.

Disember tahun lalu, media melaporkan Jasni memohon bantuan orang bagi meringankan beban kewangannya selepas disahkan menghidap kanser darah di Hospital Sultanah Bahiyah, selepas sering berasa letih dan pitam.

Artikel Berkaitan:

Pencennya sebagai bekas tentera sebanyak RM1,228 dan elaun orang kelainan upaya (OKU) sebanyak RM150 terpaksa dihabiskan untuk menyara kehidupan seharian, membayar pinjaman rumah dan pinjaman peribadi yang dibuatnya sebelum ini termasuk kos berulang-alik ke hospital untuk rawatannya.

Beliau juga memohon bantuan untuk menukar kaki palsunya kepada yang baharu kerana yang lama sudah tidak sesuai untuk digunakan lagi dan sesiapa yang mahu menghulurkan bantuan boleh menghubungi Jasni di talian 017-5061884.