277 premis diperiksa KPDNHEP

A
A
A

PARIT BUNTAR - Tiada sebarang aduan diterima Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Parit Buntar sepanjang tempoh Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Tahun Baharu Cina 2019.

Ketua Cawangan KPDNHEP Parit Buntar, Mat Jidin Hassan berkata, sepanjang tempoh penguatkuasaan bermula 30 Januari hingga hari ini, sebanyak 277 premis perniagaan termasuk pasar raya, kedai runcit, pasar awam dan pasar pagi telah diperiksa.

"Pemeriksaan dilakukan bagi memastikan peniaga tidak menjual 12 barangan kawalan melebihi harga maksimum dan meletakkan tanda harga merah jambu bagi barangan harga terkawal.

"Kita juga menjalankan pemeriksaan bagi memastikan bekalan barangan mencukupi di pasaran dan peniaga menggunakan alat timbang dan sukat yang telah ditentukan KPDNHEP, " katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mat Jidin pihak KPDNHEP Parit Buntar berjaya mengesan empat kesalahan dilakukan peniaga sepanjang tempoh Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Tahun Baharu Cina 2019.

"Tiga kes yang dikesan adalah melibatkan kegagalan peniaga tidak mempamerkan tanda harga khas warna merah jambu, manakala satu lagi kes melibatkan tidak mempamerkan tanda harga pada barangan dijual.

"Kesemua kes ini telah diambil tindakan di mana semua peniaga terbabit dikenakan kompaun berjumlah RM400," katanya.

Mat Jidin turut mengucapkan terima kasih kepada peniaga Parit Buntar yang telah memberikan kerjasama dalam mematuhi undang-undang dan peraturan-peraturan yang telah ditetapkan sepanjang tempoh skim tersebut dilaksanakan.

Artikel Berkaitan: