Bantuan banjir kali ini perlu lebih daripada biasa

Penduduk Kampung Ajai, Abdul Raof Muntil, 51, termenung mengenangkan nasib apabila rumah yang selama ini menjadi tempat berteduh kini hanya tinggal tangga sahaja kerana dihanyutkan banjir besar. - Foto Bernama
Penduduk Kampung Ajai, Abdul Raof Muntil, 51, termenung mengenangkan nasib apabila rumah yang selama ini menjadi tempat berteduh kini hanya tinggal tangga sahaja kerana dihanyutkan banjir besar. - Foto Bernama
A
A
A

TATKALA semua orang sedang berdepan dengan kesusahan menghadapi Covid-19 dan masalah ekonomi, penduduk di enam negeri iaitu Pahang, Kelantan, Terengganu, Johor, Perak dan Sabah diuji dengan dugaan yang lebih berat.

Mereka mengalami kerugian harta benda dan tekanan emosi apabila kawasan kediaman yang menjadi tempat perlindungan dilanda banjir sejak minggu lalu.

Sehingga Ahad, lebih 30,000 mangsa banjir dilaporkan terlibat di lima negeri itu dengan anggaran kerugian sudah pasti melibatkan angka yang besar.

Seperti yang dinyatakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kerajaan Persekutuan dan negeri perlu bekerjasama bagi memastikan kebajikan mangsa banjir tidak hanya terbatas dari segi penyediaan bekalan keperluan harian semasa berada di pusat pemindahan sementara tetapi perlu diteruskan sehingga satu tempoh yang sesuai selepas mereka pulang ke rumah masing-masing.

Ya, memang wajar diteruskan tetapi ia perlu lebih daripada sebelum ini kerana proses untuk penduduk bangkit semula lebih sukar berbanding musibah sebelum ini.

Rakyat yang ada sekarang berada dalam kesusahan seperti kehilangan pendapatan, kekurangan pendapatan dan proses untuk menggantikan keperluan yang rosak dijangka amat sukar.

Mereka memerlukan bantuan sokongan yang lebih untuk kembali membina hidup kerana rata-rata kerosakan akibat banjir memusnahkan hampir kesemua peralatan dan perabot di dalam rumah.

Tabung bantuan bencana perlu diaktifkan semula untuk menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir membeli keperluan kediaman masing-masing agar mereka dapat meneruskan hidup seperti sediakala.

Artikel Berkaitan:

Pada masa ini juga, bantuan daripada NGO dan syarikat korporat perlu diselaraskan supaya bantuan tersebut lebih menyeluruh serta adil.

Bersama-samalah kita membantu mangsa banjir yang dalam kesusahan kerana ujian yang mereka hadapi amat berat jika dibandingkan dengan kita.

Semoga dengan bantuan tersebut, ia dapat memulihkan emosi dan semangat mangsa-mangsa banjir agar dapat meneruskan kehidupan dalam serba mencabar.