Fasiliti KKM tidak mampu tampung pesakit Covid-19

Sistem kesihatan negara kini berdepan dengan keadaan genting berikutan peningkatan sehingga 2,000 kes baharu Covid-19 setiap hari. - Foto Bernama
Sistem kesihatan negara kini berdepan dengan keadaan genting berikutan peningkatan sehingga 2,000 kes baharu Covid-19 setiap hari. - Foto Bernama
A
A
A
PUTRAJAYA - Fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah tidak mampu untuk menampung peningkatan sehingga 2,000 kes baharu setiap hari.

Menurut Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sistem kesihatan negara kini berdepan dengan keadaan genting.

"Saya ingin jelaskan realiti situasi sistem kesihatan yang sedang kita hadapi sekarang.

"Sebanyak 15 buah hospital Covid-19 mencatatkan kadar penggunaan katil Covid-19 (bukan ICU) melebihi 70 peratus.

"Di Lembah Klang kadar penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) untuk pesakit Covid-19 di Hospital Kuala Lumpur dan di Pusat Perubatan Universiti Malaya telah mencapai 100 peratus manakala di Hospital Sungai Buloh pula telah mencapai 83 peratus.

"Sementara itu, kadar penggunaan katil ICU untuk pesakit Covid-19 di lima buah negeri iaitu Perak, Selangor, Melaka, Terengganu dan Sarawak telah melebihi 70 peratus," katanya dalam Perutusan Khas Perdana Menteri pada Isnin.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, pada masa ini, terdapat lebih daripada 1,450 orang anggota perubatan di hospital seluruh negara yang telah dijangkiti atau terpaksa menjalani arahan kuarantin dan tidak dapat bertugas.

"Jumlah kematian akibat Covid-19 pula terus meningkat kepada 521 kes dengan kadar kematian sebanyak 0.41 peratus.

"Malaysia mencatatkan lebih 100 kes kematian sebulan bagi bulan Oktober hingga Disember 2020 berbanding dua hingga 59 kes kematian sebulan bagi bulan Mac hingga September 2020.

Artikel Berkaitan:

"Pertambahan kes harian yang tinggi menyebabkan kelewatan petugas kesihatan untuk mengambil para pesakit di rumah untuk dibawa ke hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Risiko Rendah Covid-19 (PKRC)," ujarnya.