Tindakan saman jika ingkar arahan papan tanda banjir

Laporan Sinar Harian sebelum ini berhubung insiden tiga sekeluarga nyaris dihanyut arus banjir apabila kenderaan pacuan empat roda dinaiki terperangkap di dalam banjir.
Laporan Sinar Harian sebelum ini berhubung insiden tiga sekeluarga nyaris dihanyut arus banjir apabila kenderaan pacuan empat roda dinaiki terperangkap di dalam banjir.
A
A
A

KEMAMAN - Polis Terengganu tidak akan berkompromi dan akan terus mengambil tindakan saman terhadap pemandu atau individu yang ingkar amaran papan tanda di kawasan bencana banjir.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata, ia susulan empat kes kenderaan hanyut dan hampir tenggelam kerana kedegilan pemandu mematuhi amaran papan tanda yang dipasang pihak berkuasa ketika musim banjir kali ini.

Menurutnya, masih ada individu yang mengambil tindakan sendiri meredah kawasan yang dinaiki air walaupun papan tanda amaran telah dipasang.

"Apa yang mengecewakan kita, walaupun jalan telah ditutup dan lencongan telah disediakan tetapi masih ada pemandu yang mengambil risiko dengan meredah laluan yang ditenggelami air.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiga sekeluarga nyaris dihanyut banjir

"Kita tidak akan memberi peluang lagi. Terbaru pada Sabtu lalu, ada kenderaan pacuan empat roda yang dihanyutkan air kerana cuba merentasi banjir sedangkan polis telah memberi nasihat dan amaran sebelum ini.

"Jangan ambil risiko untuk meredah banjir ini walaupun laluan yang biasa kita lalui kerana air keruh memungkinkan jalan terputus atau runtuh," katanya

.

Roslee (dua dari kiri) dan Hanyan bertanya khabar anggota polis IPD Kemaman dan keluarga mereka yang terjejas banjir dan ditempatkan di PPS IPD Kemaman.
Roslee (dua dari kiri) dan Hanyan bertanya khabar anggota polis IPD Kemaman dan keluarga mereka yang terjejas banjir dan ditempatkan di PPS IPD Kemaman.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan bantuan kepada pegawai dan anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman yang terjejas banjir, di pusat pemindahan sementara (PPS) IPD Kemaman, Isnin.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Roslee berkata, pemandu atau individu yang ingkar akan diambil tindakan mengikut Seksyen 79 (2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana gagal mematuhi isyarat papan tanda.

Katanya, bagi kesalahan itu, mereka boleh dikenakan kompaun sehingga RM300.

Sehingga kini, sebanyak empat kes kenderaan hanyut dan hampir tenggelam kerana meredah banjir direkodkan dan kesemuanya berlaku di daerah Kemaman yang terjejas teruk dengan banjir.

Dalam kejadian Sabtu lalu, tiga sekeluarga nyaris maut dihanyutkan air, selepas kenderaan yang mereka naiki terperangkap dalam banjir di bawah jambatan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) di Chukai.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 10.30 pagi ketika mangsa yang datang dari Kuantan, Pahang itu menghala ke Mak Lagam.