X

Kindly register in order to view this article
!

‘Muhyiddin masih ada kuasa’

Muka depan Sinar Ahad pada 10 Januari 2021.
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Perikatan Nasional (PN) masih mempunyai sokongan majoriti mudah di Dewan Rakyat walaupun Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub menarik balik sokongannya.

Pakar Undang-undang dan Perlembagaan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod berkata, sebelum ini di Dewan Rakyat terdapat 222 kerusi dan setelah dua ahlinya meninggal dunia, kini tinggal 220 wakil rakyat kerana kerusi yang kosong itu masih belum dipenuhi.

Beliau berkata, pendapat popular sebelum ini mengatakan PN berkelebihan dua ke tiga kerusi majoriti kerana dua ahli Dewan Rakyat yang meninggal dunia terdiri daripada seorang ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) dan seorang lagi daripada PN.

“Mengikut perkiraan selepas kerajaan PN mengambil alih pada Februari 2020 sehingga selepas kematian dua ahli Dewan Rakyat tersebut, maka PN masih ada majoriti mudah.

“Selepas Ahmad Jazlan menyatakan pendiriannya semalam (Sabtu), Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebenarnya masih ada majoriti mudah di Dewan Rakyat.

“Jadi, tiada isu beliau atau kerajaan PN hilang majoriti sekarang,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Menurutnya, cuma persoalan yang harus difikirkan mungkinkah tindakan Ahmad Jazlan itu menjadi titik permulaan kepada penghijrahan keluar ahli Dewan Rakyat UMNO yang lain daripada menyokong kerajaan PN.

Katanya, jika ia berlaku, maka kerajaan sekarang akan hilang majoriti di Dewan Rakyat.

Nik Ahmad Kamal berkata, sekiranya mana-mana pihak mengatakan bahawa Muhyiddin telah hilang majoriti, cara terbaik ialah dengan mempersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong bahawa mereka mempunyai majoriti.

Beliau berkata, dalam keadaan suasana politik dan sokongan yang amat fluid sekarang, pihak yang dikatakan telah hilang majoriti hari ini mungkin akan mempunyai majoriti esok.

“Kalau benar tiada majoriti lagi, elok dipanggil sidang khas Dewan Rakyat untuk selesaikan melalui undi percaya atau undi tidak percaya,” katanya.

Ketika mengulas sekiranya Muhyiddin benar-benar hilang sokongan majoriti, Nik Ahmad Kamal berkata, pilihan yang ada mengikut Perlembagaan, Perdana Menteri perlu meletak jawatan.

Bagaimanapun katanya, Perlembagaan memberi ruang kepada Perdana Menteri untuk memohon Yang di-Pertuan Agong membubarkan Parlimen dan jika Seri Paduka Baginda memberi perkenan, maka pilihan raya perlu dilaksanakan.

“Jika Yang di-Pertuan Agong tidak mahu bubar Parlimen, Seri Paduka Baginda boleh melantik seorang ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri dengan syarat orang tersebut mendapat sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

“Namun jika Seri Paduka Baginda berpandangan tiada ahli Dewan Rakyat yang akan mendapat sokongan majoriti, bolehlah dilantik seorang Perdana Menteri interim sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan,” katanya.

Muhyiddin
Muhyiddin

Sementara itu, Pakar Perlembagaan yang juga Felo Penyelidik (Undang-undang dan Perlembagaan) Pusat Polisi Perdana, Universiti Teknologi Malaysia, Dr Muhammad Fathi Yusof memberi pandangan berbeza bahawa Muhyiddin sudah hilang sokongan majoriti.

Menurutnya, jika merujuk kepada pengumuman oleh Ahmad Jazlan dan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang dibuat sebelum undian Belanjawan 2021 tempoh hari, kerajaan PN kini hanya mendapat sokongan 110 orang daripada 220 orang keseluruhan ahli Dewan Rakyat.

Beliau berkata, menurut Perkara 43(4) menyebut, ‘jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletak jawatan Jemaah Menteri, melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong'.

Beliau berkata, ia bermaksud terdapat dua pilihan iaitu meletakkan jawatan atau memohon pembubaran Parlimen.

“Ia sesuai jika ada tokoh lain yang boleh menggantikan Perdana Menteri yang hilang sokongan.

“Calon paling hampir ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada PH yang mempunyai 91 sokongan tetapi belum ada petanda jelas ahli Parlimen daripada parti-parti lain seperti Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Warisan (Parti Warisan Sabah) dan Muda (Ikatan Demokratik Malaysia) menyokong beliau.

“Pilihan kedua ialah memohon dibubarkan Parlimen bagi membolehkan PRU dilaksanakan dalam masa 60 hari dan pilihan ini sesuai jika tiada wabak Covid-19," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!