PN masih boleh memerintah

A
A
A

PERGOLAKAN politik negara nampaknya belum selesai dan terus bergolak. Walaupun titah Yang di-Pertuan Agong agar wujudkan ‘genjatan’ politik, namun suhu politik negara terus membara.

Seperti tiada kesudahannya, Malaysia terus dilanda dengan krisis pengaruh dan kuasa sehingga perlu difikirkan kembali makna demokrasi serta mandat yang diberikan rakyat melalui pengundian.

Beberapa analisis boleh dibincangkan dan kesannya kepada negara. Walaupun hilang majoriti akibat hilang satu lagi sokongan, kerajaan Perikatan Nasional (PN) Plus masih boleh kekal menjadi kerajaan memerintah.

PN Plus hilang majoriti selepas Ahli Parlimen Machang daripada UMNO, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob menarik balik sokongan kepada kerajaan pada Sabtu.

Walaupun tindakan itu mengejutkan ramai pihak, namun boleh dijangkakan kerana beliau telah meletak jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) kerana inginkan pilihan raya umum diadakan.

Sebelum ini, beberapa tokoh politik negara menyuarakan penentangan terhadap kerajaan sekarang, namun belum dizahirkan menerusi undian di Parlimen.

Walaupun hanya memiliki sokongan 110 daripada 220 ahli Parlimen, PN Plus masih merupakan blok terbesar di Dewan Rakyat.

Perpecahan dalam blok pembangkang menyaksikan setakat ini, Pakatan Harapan (PH) hanya memiliki sokongan 91 ahli Parlimen.

Artikel Berkaitan:

Tanpa majoriti alternatif, ada ruang kekaburan bagi Yang di-Pertuan Agong untuk percaya bahawa Perdana Menteri masih memiliki majoriti kerana pilihan raya tidak diambil kira.

Walaupun keadaan itu meletakkan kerajaan sekarang semakin lemah, namun belum cukup untuk menyingkirkan Perdana Menteri sehingga muncul majoriti alternatif.

Malah, Perdana Menteri tidak perlu meletak jawatan sehingga wujud blok baharu yang mendakwa mempunyai majoriti yang akan diputuskan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Ramai pemerhati dan penggiat politik percaya akan wujud gabungan baharu dan kerjasama di antara parti politik bagi memastikan kesinambungan pemerintahan kerajaan sedia ada.

Langkah Sheraton telah kita saksikan percaturan yang dirancang dengan agenda tertentu untuk pertukaran kerajaan.

Dijangka timbul kembali isu ahli Parlimen akan ‘ditawarkan’ pelbagai keistimewaan apabila bersetuju menyertai blok sedia ada atau blok baharu.

Adakah akan ada pengumuman pelantikan Perdana Menteri baharu atau kerjasama dalam kalangan parti politik?

Realiti

Kemelut politik sebegini sebenarnya meresahkan rakyat. Apatah lagi peningkatan kes Covid-19, krisis politik negara juga memuncak dan mendadak. Adakah wajar untuk diadakan PRU dalam masa terdekat?

Dalam politik tiada yang kekal dan bersifat dinamik. Mungkin itu dipanggil politik normal baharu yang sentiasa berubah dan wujud kerjasama sinergi namun, itulah realiti politik yang perlu diterima semua pihak khususnya pengundi.

Tindakan ‘lompat parti’ tidak lagi kelihatan elergi atau bersalah sehingga ramai juga telah mual dan muak dengan permainan pemimpin parti politik membuat percaturan sehingga melupakan tanggungjawab kepada rakyat.Beberapa insiden dan adegan ahli Parlimen dalam pembentangan Belanjawan 2021 misalnya, mengukur sejauh mana pemimpin parti politik sebenarnya mengutamakan rakyat dalam membuat keputusan.

Ia juga membuktikan tindakan ahli Parlimen yang diperhatikan dan akan dinilai kembali oleh pengundi pada PRU akan datang.

Kita disuakan kembali dengan politik bergolak walaupun dikatakan wujud kerjasama. Apakah sebenarnya mesej dan agenda kali ini?

Adakah kerajaan memikirkan kembali Pilihan Raya Kecil (PRK) Gerik dan Batu Sapi diadakan dalam masa terdekat untuk menampung majoriti kerajan PN Plus?

Cara berpolitik begini tidak pernah berlaku sebelum ini akibat tidak wujud majoriti yang besar atau dua pertiga majoriti.

Seandainya sehingga cukup ahli UMNO yang bersedia menyokong kerajaan PH, gabungan PN Plus masih mempunyai jumlah terbesar walaupun tidak mempunyai majoriti dalam Dewan.

* Profesor Datuk Dr Ismail Sualman ialah Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara