Polis nafi kanak-kanak didera ibu bapa, lari ke rumah nenek

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Polis Shah Alam menafikan dakwaan bahawa seorang kanak-kanak perempuan didera oleh ibu bapanya dan cuba mencari rumah neneknya di Klang seperti mana tular di laman sosial pada Sabtu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintendan Ramsay Anak Embol berkata, hasil semakan mendapati kanak-kanak berusia 9 tahun yang membawa beg pakaian dengan menunggang basikal telah ditemui oleh polis bantuan SP Setia.

"Kanak-kanak tersebut dibawa ke Balai Polis Setia Alam dan siasatan awal mendapati tiada kesan penderaan pada tubuh badan kanak-kanak berkenaan.

"Ibu bapanya juga hadir ke balai polis untuk mengambil kanak-kanak berkenaan pada hari yang sama," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Katanya, ibu bapa kanak-kanak berkenaan juga difahamkan akan membuat laporan polis berkaitan video yang tular tersebut.

"Polis mengambil keterangan ibu bapanya manakala individu-individu yang membuat rakaman juga akan dipanggil untuk membantu siasatan," katanya.

Terdahulu, tular video kanak-kanak perempuan berkenaan yang ditemui berhampiran Setia Taipan Setia Alam, didakwa didera oleh ibu bapanya ketika cuba mencari rumah neneknya di Klang.

Artikel Berkaitan: