Pinjaman lulus RM5,000, tapi rugi RM25,464.16

No Image Caption
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang kerani syarikat latihan penerbangan di Langkawi kerugian RM25,464.16 akibat diperdaya sindiket pinjaman tidak wujud pada Selasa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kedah, Superintentan Elias Omar berkata, wanita berusia 38 tahun itu terjerat dalam penipuan selepas menerima panggilan daripada suspek yang mengaku sebagai pengurus sebuah syarikat pinjaman dan menawarkan pinjaman peribadi.

Menurutnya, mangsa yang merupakan ibu tunggal memulakan langkah membuat pinjaman dengan syarikat berkenaan pada Selasa dengan menekan link URL diterimanya melalui WhatsApp yang dihantar oleh suspek.

"Mangsa diminta menunggu kelulusan pinjaman selepas mengisi butiran peribadi seperti yang diminta suspek.

"Pada Rabu, mangsa menerima mesej daripada pengurus syarikat itu yang memaklumkan permohonan pinjaman wanita berkenaan sebanyak RM5,000 diluluskan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Elias berkata, mangsa kemudian diminta membuat beberapa bayaran seperti bayaran kelulusan pinjaman, SST, bayaran genapkan akaun, bayaran bagi sistem tergendala, bayaran kepada 'runner' insurans untuk mendapatkan pinjaman tersebut.

"Pada hari sama, mangsa mula membuat pindahan wang secara dalam talian berjumlah RM25,464.16 ke empat akaun bank yang berbeza secara berperingkat," katanya.

Menurutnya, mangsa yang menyedari diperdaya membuat laporan polis di Kuala Teriang pada Jumaat dan siasatan dibuka di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan: