Masih ramai ahli Parlimen dan parti politik sokong PN

Mohd Redzuan
Mohd Redzuan
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof mendedahkan bahawa ramai ahli Parlimen dan parti politik menghubunginya untuk menyatakan sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sehubungan itu, Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, tindakan Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub menarik diri daripada menyokong PN tidak menjejaskan kedudukan kerajaan.

Kata beliau, kerajaan PN masih lagi kukuh dan utuh kerana ramai lagi ahli Parlimen yang boleh menggantikan tempat Ahmad Jazlan.

“Kalau setakat seorang sahaja, tiada masalah dan kita masih lagi okey. Ramai lagi orang lain yang memikirkan untuk bersama kerajaan. Kita tidak boleh berfikiran hanya sekadar seorang individu boleh meruntuhkan kerajaan.

“Banyak lagi ahli Parlimen dan juga parti yang lain menghubungi saya sendiri yang menyatakan sokongan kepada kepimpinan Muhyiddin,” katanya menurut laporan portal PN BBC pada Ahad.

Mengulas lanjut, Mohd Redzuan berkata, beliau kecewa dan terkilan dengan tindakan Ahmad Jazlan memandangkan negara masih lagi berperang dengan ancaman Covid-19 selain banjir yang berlaku di beberapa negeri.

“Mungkin seorang sahaja yang menarik sokongan tetapi mungkin ada dua orang atau lebih yang mahu memberi sokongan kepada kerajaan PN dan Perdana Menteri. Siapa tahu kerana saya sendiri tiada maklumat terkini,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berkata, keutamaan kerajaan PN dan Perdana Menteri sekarang adalah untuk menangani penularan Covid-19 dan bencana banjir serta membangunkan semula ekonomi negara.

Artikel Berkaitan:

Pada Sabtu, Ahmad Jazlan menarik diri daripada menyokong kerajaan PN.

Menurutnya, keputusan menarik sokongan terhadap kerajaan kepemimpinan Muhyiddin tersebut dibuat tanpa desakan daripada mana-mana pihak, malah tindakan berkenaan dilakukan atas dasar memperjuangkan prinsip parti serta maruah Barisan Nasional (BN) dan bukannya kepentingan peribadi.

-end