X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 24 Oktober 2021

Muhyiddin santuni mangsa banjir di Pahang

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Datuk Dr Aminuddin Hassim ketika tiba bagi melawat mangsa banjir di Temerloh yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seberang Temerloh hari ini. Foto Bernama
A
A

TEMERLOH - [DIKEMASKINI] Sebalik musibah banjir yang melanda Pahang, mangsa banjir kali ini berkesempatan menyuarakan keluh kesah mereka terus kepada pemimpin tertinggi negara yang menyantuni mereka pada Ahad.

Kunjungan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di pusat pemindahan banjir di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seberang Temerloh di sini dan Sekolah Menengah Tengku Ampuan Afzan, Chenor di Maran memberikan sedikit kelegaan kepada mangsa-mangsa banjir di kawasan itu.

Perdana Menteri yang tiba di SMK Seberang Temerloh pada pukul 10 pagi menggunakan helikopter dan disambut Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail meluangkan masa 40 minit melawat mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di sekolah itu.

Perdana Menteri kemudian diberikan taklimat pengurusan bencana banjir di dua daerah yang dilawati itu. Turut hadir, Ketua Pengarah Agensi Bencana Negara (Nadma), Datuk Dr Aminuddin Hassim.

Dalam lawatan itu, Muhyiddin turut beramah mesra dengan mangsa-mangsa banjir, menyantuni warga emas dan menyampaikan sumbangan kit makanan kepada mereka.

Selain itu, beliau turut membuat tinjauan di kawasan sekitar untuk melihat kemudahan yang disediakan kepada mangsa banjir, di pusat pemindahan di SMK Seberang Temeroh itu yang menempatkan 873 orang daripada 204 keluarga, setakat 12 tengah Ahad.

Di Chenor, Maran, dalan lawatan ke PPS SM Tengku Ampuan Afzan di sini, Muhyiddin turut mendengar pembentangan laporan situasi banjir bagi daerah Maran.

Dalam pembentangan itu, Perdana Menteri memberi penekanan mengenai keperluan pengurusan mangsa dalam pasca banjir khususnya berkaitan hal membantu mangsa yang mengalami kerosakan rumah selain kerosakan infrastruktur awam.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh juga mahukan bantuan makanan diteruskan sehingga tempoh tertentu kepada mangsa banjir selepas mereka pulang ke rumah.

Pada lawatan itu, beliau turut menyantuni mangsa banjir di sini yang kini menjadi tempat pelindungan kepada 173 individu dari 53 keluarga yang terjejas akibat banjir dan dilihat menenangkan beberapa mangsa banjir yang sebak, ketika menceritakan keadaan mereka yang terkesan akibat musibah itu.

Perdana Menteri turut memberi nasihat dan kata-kata semangat kepada mangsa, selain memberi jaminan kerajaan akan membantu mereka dalam menghadapi pasca bencana itu.

Sehingga tengah hari, sebanyak 40 PPS dibuka di daerah Maran melibatkan 3,605 mangsa daripada 1,134 keluarga.

Perdana Menteri meninggalkan pusat penempatan itu pada 12 tengah hari dan pulang ke Kuala Lumpur dengan menaiki helikopter. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!