Pengalaman bercuti PKPB di PD

Dua hari berturut-turut saya makan malam di King’s CKT yang terletak di Jalan Pantai menghala ke Teluk Kemang. Tempat makan itu menjadi tumpuan para peminat char kuey teow. Keselesaan menjamu selera terganggu sedikit kerana kehadiran beberapa ekor kucing tanpa tuan yang mahu menumpang sama.
Dua hari berturut-turut saya makan malam di King’s CKT yang terletak di Jalan Pantai menghala ke Teluk Kemang. Tempat makan itu menjadi tumpuan para peminat char kuey teow. Keselesaan menjamu selera terganggu sedikit kerana kehadiran beberapa ekor kucing tanpa tuan yang mahu menumpang sama.
A
A
A

KEGIATAN pelancongan masa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) nampaknya kembali rancak di Port Dickson (PD), Negeri Sembilan. Dan mungkin juga di tempat-tempat peranginan yang lain di negara ini.

Kelonggaran yang diberi ketika PKPB untuk merentas negeri membolehkan pelancong membanjiri PD kerana kedudukannya yang hampir dengan Kuala Lumpur, Seremban, Melaka dan Shah Alam.

Dari Lembah Klang ke PD mengambil masa antara satu hingga satu setengah jam bergantung kepada kelajuan anda memandu.

Pantai PD sepanjang 15 kilometer dari Bandar PD hingga ke Teluk Kemang penuh sesak dengan peminat pantai.

Ada yang mendirikan khemah-khemah untuk bermalam di tepi pantai. Hotel-hotel tertentu melaporkan bilik-bilik yang disediakan di tempah habis sejak PKPB membenarkan kebebasan pergerakan ke negeri-negeri.

Malah ada syarikat yang mengambil kesempatan untuk mengadakan retreat untuk kakitangannya.

Lexis Port Dickson di mana saya menginap, kesemua 260 biliknya penuh. Grand Lexis yang letak bersebelahan, yang menyediakan 310 bilik, juga sama.

Cuma dua hotel Lexis di Kuala Lumpur yang masih belum kembali normal dari segi perniagaan, kata staf yang saya temui masa sarapan.

Artikel Berkaitan:

“Di sini dan di Grand Lexis di sebelah, semua bilik habis ditempah sejak PKPB membenarkan rakyat merentas di negeri. Tapi hotel kami di KL belum lagi,” katanya.

Membeli surat khabar di Kedai Buku Wong Chong Tai di Bandar Port Dickson – satu-satunya kedai yang menjual akhbar. Pembeli akhbar tidak perlu turun kereta untuk membeli akhbar kegemaran mereka. Cukup sekadar memberhentikan kereta di tepi kedai, menurunkan cermin tingkap kereta dan menyatakan jenama surat khabar yang diingini. Penjual akan menghantar akhbar ke kereta. Tetapi pada hari Ahad, kedia buku tersebut ditutup awal.
Membeli surat khabar di Kedai Buku Wong Chong Tai di Bandar Port Dickson – satu-satunya kedai yang menjual akhbar. Pembeli akhbar tidak perlu turun kereta untuk membeli akhbar kegemaran mereka. Cukup sekadar memberhentikan kereta di tepi kedai, menurunkan cermin tingkap kereta dan menyatakan jenama surat khabar yang diingini. Penjual akan menghantar akhbar ke kereta. Tetapi pada hari Ahad, kedia buku tersebut ditutup awal.

Rebat yang diberi oleh kerajaan kepada para pembayar cukai untuk mereka melancong di dalam negeri nampaknya dimanfaatkan sepenuhnya untuk bercuti dan membantu pertumbuhan ekonomi menerusi pelancongan.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Syukri pasti tersenyum melihat kegiatan pelancongan sudah kembali rancak di PD.

Kedai-kedai makan di Bandar Port Dickson dan juga di sepanjang perjalanan ke Teluk Kemang dipenuhi dengan pelanggan. Seolah-olah tiada pandemik Covid-19 dan tiada masalah ekonomi. Setidak-tidaknya inilah yang saya rasakan selama berada tiga hari dua malam di PD.

Pandemik Covid-19 langsung tidak ditakuti kerana ada segelintir pengunjung tidak mematuhi SOP dari segi penjarakan sosial dan memakai pelitup muka di kawasan agak sesak.

Mereka seolah-olah ingin memberitahu “aku tidak mungkin diserang Covid-19 dan hanya orang lain akan dijangkiti.”

Pembudayaan amalan-amalan norma baharu belum benar-benar difahami dalam kalangan sesetengah orang kita.

Saya juga ingin mencadangkan Majlis Perbandaran Port Dickson supaya menurap semula Jalan Pantai sepanjang 15 kilometer dari Bandar PD ke Teluk Kemang dengan tujuan memberi keselesan kepada pemanduan para pengguna jalan raya yang setia membayar cukai jalan.

Hal ini kerana jalan yang sedia ada penuh dengan kerja-kerja tampalan lubang yang tidak kemas dan sempurna di tengah dan di tepi laluan menyebabkan pemandu kereta dan penunggang motosikal mengalami ketidakselesaan setiap kali melalui jalan tersebut.

Infrastruktur jalan utama di kawasan Parlimen yang diwakili ‘bakal Perdana Menteri’ sebagai wakil rakyat di peringkat Persekutuan hendaklah dipastikan berada dalam keadaan yang baik senantiasa. Kalau boleh biarlah bertaraf kelas pertama.

Selain itu, pihak kerajaan tempatan PD kena mula memikirkan untuk mewujudkan laluan khas untuk penunggang basikal di sepanjang Jalan Pantai supaya kehadiran mereka tidak perlu bersaing dengan kereta dan motosikal.

Hal ini kerana pada hujung minggu terutamanya sudah ramai pengunjung ke PD atau penduduk tempatan menunggang basikal untuk beriadah dari bandar PD ke Teluk Kemang. Ada yang melakukan kayuhan dalam kumpulan atau secara bersendirian.

Baguslah kerana kegiatan ini mesra alam sekitar. Dengan berbasikal, tiada pertambahan karbon monosida dilepaskan ke udara.

Bagaimanapun jangan tunggu hingga ada penunggang basikal mengalami kemalangan yang mengakibatkan kecederaan atau malah kematian baharu Majlis Perbandaran Port Dickson hendak bertindak.

Istilahnya di sini adalah bertindaklah secara proaktif, bukan reaktif.

* Datuk Dr Chamil Wariya ialah Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI)