Rusuhan di Washington DC

Ramai pemimpin dunia termasuk dari negara-negara sekutu AS mengecam rusuhan di Washington DC.
Ramai pemimpin dunia termasuk dari negara-negara sekutu AS mengecam rusuhan di Washington DC.
A
A
A

PEMIMPIN dunia telah mengecam kelakuan ganas di Washington DC oleh penyokong Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang menyerbu bangunan Capitol pada 5 Januari 2021.

Tujuan rusuhan adalah untuk memaksa penangguhan sesi bersama Kongres untuk mengesahkan kemenangan Joe Biden pada pilihan raya Presiden 2020.

Ketika protes demokrasi di Hong Kong, pemimpin seperti Speaker Kongres AS, Nancy Pelosi telah menyokong protes tersebut dengan mengeluarkan kenyataan bahawa pemandangan protes di Hong Kong adalah sesuatu yang indah.

Pada Julai 2019, petunjuk perasaan di Hong Kong telah menyerbu Dewan Perundangan Hong Kong. Tanpa disangka, hampir dua tahun kemudian AS ditimpa nasib yang sama semasa Pelosi bersama Timbalan Presiden AS, Mike Pence sedang mempengerusikan persidangan bangunan Capitol yang menempatkan Kongres AS diserbu oleh penyokong Trump.

Adakah Pelosi juga menganggap tindakan ganas penyokong Trump di bangunan Capitol sebagai ‘pemandangan indah’?

Selain itu, reaksi anggota keselamatan amat berbeza ketika protes anti-rasis oleh gerakan Black Lives Matter (BLM) pada tahun 2020 dengan rusuhan yang dicetuskan penyokong Trump.

Semasa protes BLM, bangunan Capitol telah menjadi ‘kubu’ dikawal rapi oleh polis dan tentera Pengawal Kebangsaan yang dilengkapi senjata automatik dan gas pemedih mata.

Berbanding dengan suasana ketika penyokong Trump yang kebanyakannya terdiri daripada penduduk AS yang berkulit putih memprotes di bangunan Capitol, mereka mampu menyerbu dan terus masuk ke dalam bangunan sehingga senator termasuk Timbalan Presiden AS, Mike Pence dan Pelosi terpaksa keluar diiringi anggota keselamatan.

Artikel Berkaitan:

Trump telah memanggil petunjuk perasaan BLM yang menuntut keadilan akibat rasis sebagai samseng, manakala penyokongnya yang telah merusuh digelar ‘patriot.

Sebenarnya ramai penyokong Trump yang merusuh terdiri daripada ahli kumpulan pelampau yang memperjuangkan ketuanan kulit putih. Mereka dengan mudah mampu menawan bangunan Capitol berbanding penyokong BLM terpaksa berhadapan dengan asap gas pemedih mata dan tembakan peluru getah ketika melakukan protes di hadapan bangunan yang sama secara aman.

Ramai pemimpin dunia termasuk dari negara-negara sekutu AS seperti Britain, Australia, Jepun dan Perancis telah mengeluarkan kenyataan mengecam rusuhan di Washington DC.

Mereka menggesa agar pemindahan kuasa di AS dapat dilakukan secara aman dan menyifatkan apa yang telah berlaku sebagai 'mengerikan' dan 'serangan terhadap demokrasi'. Perdana Menteri UK, Boris Johnson mengecam sebagai 'memalukan'.

Setiausaha Dalam Negara Britain, Priti Patel berkata bahawa Trump bertanggungjawab mengetuai rusuhan sehingga bertembung dengan polis.

Presiden Perancis, Emmanuel Macron berkata, keengganan penyokong Trump menerima keputusan pilihan raya sehingga sanggup mengangkat senjata telah membelakangkan dan melemahkan amalan demokrasi.

Jiran AS di sebelah utara iaitu Kanada, Perdana Menteri Justin Trudeau dalam ciapan di Twitter menyifatkan orang Kanada 'sangat terganggu dan sedih dengan serangan terhadap demokrasi'. Beliau tegas mengatakan bahawa keganasan tidak akan berjaya mengatasi kehendak rakyat.

Jurucakap Kementerian Luar Rusia, Maria Zakharova pula berkata, Rusia menyalahkan sistem pilihan raya AS yang 'kuno' tidak memenuhi piawaian demokrasi moden dan media Amerika telah dipolitikkan sehingga menyebabkan rusuhan tercetus di Washington.

Perdana Menteri Sweden, Stefan Lofven menyifatkan rusuhan di Washinton DC adalah 'serangan terhadap demokrasi' dan 'membimbangkan'.

Perdana Menteri Australia, Scott Morrison turut membidas apa yang telah berlaku. Morrison menyifatkan rusuhan itu sebagai 'pemandangan yang menyedihkan' dan berharap pemindahan kuasa dapat dilakukan secara aman.

Perkara sama juga ditegas Perdana Menteri India, Narenda Modi yang mengatakan proses demokrasi tidak harus ditumbangkan oleh protes yang menyalahi undang-undang.

Ketua Setiausaha Kabinet Jepun, Katsunobu Kato pula berkata, kerajaan Jepun amat perhatin apa yang telah terjadi di Washington DC dan berharap pemindahan kuasa yang aman dapat lakukan.

Sebenarnya penyokong Trump yang datang berkumpul di Washington DC telah diapi-apikan oleh ucapan Trump yang mendakwa berlakunya penipuan pada pilihan raya Presiden 2020.

Namun, Mahkamah Agung AS telah menolak bantahan pihak Trump. Rusuhan yang berlaku pada 5 Januari merupakan percubaan terdesak Trump untuk mengekalkan pentabirannya. Malah, tidak berketerlaluan untuk menyifatkannya sebagai usaha rampasan kuasa.

* Dr Roy Anthony Rogers ialah Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya