Kerajaan giat bantu 47 tahanan rakyat Malaysia di Kemboja

 Saifuddin yang ditemui media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Negeri Pahang di Wisma Persekutuan, di sini, hari ini
Saifuddin yang ditemui media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Negeri Pahang di Wisma Persekutuan, di sini, hari ini
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan sedang berusaha menyelesaikan berkaitan 47 tahanan rakyat Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Kemboja selepas disyaki terbabit dalam kegiatan perjudian dalam talian di negara itu.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, Kedutaan Besar Malaysia sudah mengemukakan Nota Diplomatik kepada Kementerian Luar negara terbabit bagi mendapatkan penjelasan berhubung penahanan itu.

Menurut Saifuddin, pihaknya kini sentiasa mengikuti berkembangan dari semasa ke semasa dan mendapat kerjasama yang baik dari Kemboja.

"Kita (Wisma Putra) telah mengeluarkan kenyataan mengenai perkara ini dan sedang berusaha menyelesaikan perkara ini dan Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien pun bekerja keras membantu ahli keluarga mangsa.

"Kita harap ia dapat diselesaikan dengan baik, kaunselor kita di sana juga sentiasa berhubung dengan pihak berkuasa negara berkenaan bagi membantu memudahkan urusan mereka yang ditahan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Negeri Pahang di Wisma Persekutuan, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zolkopli Dahalan dan Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak.

Katanya, kaunselor Malaysia juga sudah melawat semua tahanan bagi memastikan kebajikan mereka terjamin.

Artikel Berkaitan:

Semalam, Larry mendedahkan penahanan 47 rakyat Malaysia di Kemboja sejak 11 Disember lalu selepas diumpan dengan janji manis berupa gaji lumayan dipercayai didalangi sindiket pemerdagangan manusia.

Sebahagian besar yang ditahan adalah mereka seawal usia 19 tahun hingga 44 tahun, gara-gara termakan taktik licik sindiket yang menjadikan kumpulan daripada keluarga miskin di luar bandar sebagai sasaran utama.

Larry berkata, daripada 47 rakyat negara ini yang ditahan, 44 daripadanya adalah anak muda Sarawak, berasal daripada keluarga miskin dari setiap pelusuk negeri ini, termasuk membabitkan belia Melayu, Iban dan Melanau.

Dalam pada itu, ditanya tentang dakwaan mereka terlibat dengan jenayah scammer di negara tersebut, pihaknya tidak dapat memastikan perkara tersebut malah hanya memfokuskan untuk membawa mereka pulang ke Malaysia

"Tujuan utama kita untuk bawa mereka balik dengan cepat dan selamat, kita berpegang dengan pendirian mereka ini pergi ke sana untuk bekerja yang dijanjikan dengan pendapatan lumayan.

"Bila melibatkan scam kita tak tahu agensi rekod dia di negara itu betul atau betul ke syarikat itu bagus tahu tahu ada masalah sehingga rakyat kita terbabit

"Namun kita sentiasa menghormati undang-undang negara luar dan ingin pastikan adakah benar tuduhan tersebut dilakukan (47 tahanan warga Malaysia),"katanya