Pejuang hantar rayuan kepada KDN

Mukhriz (dua dari kiri) menyerahkan kupon kepada waris penerima pada Majlis Penyerahan Kupon Bantuan Pakaian Sekolah sempena Program Back To School Parlimen Jerlun di Pusat Khidmat Parlimen Jerlun pada Sabtu.
Mukhriz (dua dari kiri) menyerahkan kupon kepada waris penerima pada Majlis Penyerahan Kupon Bantuan Pakaian Sekolah sempena Program Back To School Parlimen Jerlun di Pusat Khidmat Parlimen Jerlun pada Sabtu.
A
A
A

JERLUN - Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) telah memfailkan rayuan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mempertimbangkan semula penolakan pendaftaran parti itu pada Jumaat.

Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, pemohon yang ditolak permohonan pendaftaran parti itu oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) layak untuk membuat rayuan di bawah Akta Pertubuhan 1966.

Mukhriz yang juga Ahli Parlimen Jerlun berkata, susulan itu, pihaknya telah mengemukakan dan menghantar surat rayuan kepada pihak berkaitan selepas permohonan mereka sebagai parti politik ditolak.

"Ikut akta itu, apabila permohonan ditolak maka si pemohon boleh merayu kepada Menteri Dalam Negeri dan Pejuang telah mengemukakan surat rayuan semalam.

"Malah, Timbalan Presiden Penaja Pejuang, Datuk Marzuki Yahya juga mengadakan pertemuan dengan pendaftar baharu dilantik RoS bagi membincangkan perkara itu,"katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Kupon Bantuan Pakaian Sekolah sempena Program Back To School Parlimen Jerlun di Pusat Khidmat Parlimen Jerlun, di sini, pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Mukhriz berharap RoS dapat membuat pertimbangan semula apabila tindakan susulan telah diambil pihaknya.

"Kita ada membangkitkan mengapa pendaftaran ditolak dan RoS memberikan alasan permohonan diterima tidak teratur dan apabila kita tanya tidak teratur bagaimanapun mereka tidak boleh bagi,"katanya.

Artikel Berkaitan:

Disebabkan itu, Mukhriz berkata, pihaknya bimbang ada unsur politik dalam pertimbangan menolak permohonan pendaftaran Pejuang.

Ketika diminta mengulas sama ada Pejuang sedia bertanding sebagai calon bebas, Mukhriz berkata, pihaknya tidak berhasrat untuk bertanding sebagai calon bebas dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, sekaligus calon parti itu perlu memiliki platformnya.

"Apa platformnya belum dapat diumumkan dan daripada penolakan permohonan ini, kita memang ada perancangan kedua dan telah berbincang dengan pihak tertentu berhubung beberapa alternatif,"katanya.

Bagaimanapun, Mukhriz menegaskan langkah terbaik adalah Pejuang dapat mendaftar secara sah untuk bertanding pada PRU nanti.

Ketika mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi bahawa PH Kedah khususnya Parti Amanah Negara (Amanah) sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak termasuklah Pejuang bagi menghadapi PRU15, Mukhriz menjelaskan pihaknya belum terfikir berhubung perkara itu.

"Yang itu belum difikirkan namun kita pernah bertanding di bawah lambang Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada PRU-14, jadi mungkin ia boleh jadi satu kaedah calon guna lambang parti lain atas persetujuan daripada Presiden.

"Bagaimanapun, sebelum itu perlu dilakukan rundingan kerusi dan sebagainya, namun kita belum sampai sehingga tahap itu lagi," katanya.

Pada Khamis lalu,Sinar Harian melaporkan RoS telah menolak permohonan pendaftaran Pejuang yang dipimpin bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai sebuah parti politik berdaftar.

Perkara berkenaan dimaklumkan oleh peguam parti itu, Mior Nor Haidir Suhaimi.