Banjir: Gerakan tukar pusat khidmat jadi PPS

Dominic Lau Hoe Chai
Dominic Lau Hoe Chai
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menjadikan pusat perkhidmatannya di Pahang dan Johor sebagai Pusat Penempatan Sementara (PPS) bagi kegunaan mangsa banjir.

Presiden Nasional Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, tindakan tersebut merupakan sebahagian daripada projek ‘Gerakan Prihatin: Misi Bantuan Banjir’ parti tersebut yang dilancarkan pada Jumaat.

“Gerakan akan menjadikan pusat perkhidmatan di beberapa daerah di Pahang seperti Raub, Jerantut dan Bentong sebagai Pusat Penempatan Sementara (PPS) bagi kegunaan mangsa banjir.

“Kami juga menyediakan barang keperluan dan makanan kepada mangsa banjir yang memerlukan bantuan di samping menubuhkan sebuah pasukan untuk menghulurkan pertolongan kepada mangsa banjir seperti orang tua yang tinggal bersendirian.

“Bantuan tersebut juga akan menjalankan kerja-kerja pembersihan selepas air banjir surut,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, Gerakan Negeri Johor juga telah membuka pusat perkhidmatan Skudai untuk dijadikan sebagai PPS susulan banjir di Kampung Laut dan Rumah Pangsa Taman Jaya, Skudai, Johor pada minggu lalu.

“Setakat ini, Gerakan Johor telah membantu lebih daripada 300 keluarga yang dilanda banjir,” katanya.

Pada masa sama, Hoe Chai berkata, partinya terus memantau keadaan banjir di seluruh negara dan akan mempertimbangkan mengambil tindakan sama seperti yang dilakukan di Pahang dan Johor sekiranya diperlukan.

Artikel Berkaitan: