Manfaat projek kotak fertigasi pintar

Muhammad Sanusi (tiga dari kanan kanan) menyempurnakan simbolik penyerahan projek kotak fertigasi cili kepada peneroka di Felda Laka Selatan, Kubang Pasu pada Rabu.
Muhammad Sanusi (tiga dari kanan kanan) menyempurnakan simbolik penyerahan projek kotak fertigasi cili kepada peneroka di Felda Laka Selatan, Kubang Pasu pada Rabu.
A
A
A

KUBANG PASU - Projek kotak fertigasi pintar merupakan antara kaedah terbaharu Felda bagi membantu peneroka-peneroka di tanah rancangan untuk menambah pendapatan sampingan sehingga mampu meraih sebanyak RM300 sebulan.

Inisiatif di bawah Program Pembangunan Peneroka (PPP) itu melibatkan kos RM2,000 yang ditanggung oleh Felda dan diberikan kepada setiap peneroka yang terpilih.

Projek di bawah PPP Wilayah Alor Setar yang dilancarkan oleh Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor dan Pengerusi Felda, Datuk Seri Idris Jusoh di Felda Laka Selatan di sini pada Rabu itu bakal disertai seramai 85 peneroka di kawasan tersebut.

Muhammad Sanusi berkata, walaupun tambahan pendapatan bulanan diraih sekitar RM150 hingga RM300, namun kaedah itu dilihat amat membantu dalam meringankan beban peneroka dalam berdepan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Menurutnya, kerajaan Kedah berharap program seumpama itu dapat digiatkan lagi ke seluruh tanah rancangan di negeri ini.

Sementara itu, Idris berkata, projek PPP yang dilancarkan itu akan menjadi salah satu wadah untuk Felda membantu peneroka mencapai pendapa-tan sehingga RM5,000 menjelang 2023.

Pengarah Jabatan Pembangunan Pertanian dan Ternakan Felda, Hasrin Ismail pula berkata, matlamat PPP adalah untuk menambah pendapatan peneroka, selain hasil sawit dan getah.

Menurutnya, projek kotak fertigasi pintar itu juga merupakan antara langkah Felda membantu peneroka, selain projek-projek perintis PPP lain seperti tanaman halia muda di Felda Raja Alias, Jempol, Negeri Sembilan yang mempunyai permintaan tinggi di pasaran.

Artikel Berkaitan:

Dari kiri: Idris, Muhammad Sanusi dan Ahli dewan Undangn Negeri (ADUN) Bukit Kayu Hitam, Halimaton Shaadiah Saad melihat hasil projek kotak fertigasi cili di Felda Laka Selatan, Kubang Pasu pada Rabu.
Dari kiri: Idris, Muhammad Sanusi dan Ahli dewan Undangn Negeri (ADUN) Bukit Kayu Hitam, Halimaton Shaadiah Saad melihat hasil projek kotak fertigasi cili di Felda Laka Selatan, Kubang Pasu pada Rabu.

“Fokus PPP adalah tana-man jangka masa pendek seperti cili dan halia muda, se-lain bidang ternakan seperti arnab, ikan tilapia, kambing tenusu serta kambing daging.

“Kami melihat kepada permintaan dan jaminan pasaran sesuatu produk terlebih dahulu sebelum Felda memulakan sesebuah projek tanaman atau ternakan,” katanya.

Beliau berkata, projek kotak fertigasi pintar dilaksanakan di halaman rumah peneroka kerana tidak memerlukan kawasan luas, malah boleh diuruskan bersama ahli keluarga yang lain.

Jumlah keseluruhan yang diperuntukkan oleh kerajaan bagi PPP adalah sebanyak RM1 bilion bermula pada tahun 2020.

Sehingga kini, kerajaan menyalurkan sebanyak RM134 juta dan daripada jumlah itu Felda membelanjakan sekitar RM14 juta untuk tujuan PPP.

“Dalam sebuah keluarga peneroka, seorang ahli keluarga layak untuk mendapat geran PPP bernilai RM2,000 dan kita akan membuat tapisan terlebih dahulu agar apa yang diusahakan itu boleh membawa keuntungan,” katanya.

Pengusaha kotak fertigasi pintar dari Felda Semenchu, Kota Tinggi, Mohamad Noralam Sahroni, 41, berkata, tanaman menggunakan kaedah tersebut tidak memerlukan ruang luas dan tenaga yang banyak.

Menurutnya, penjagaannya yang diperlukan juga adalah minimum kerana kotak fertigasi dilengkapi sistem automatik bagi menguruskan 100 pokok cili.

“Di Felda Semenchu, seramai 150 orang peneroka terlibat mengusahakannya pada Jun 2020.

Mereka telah menerima manfaat yang baik menerusi program pembangunan peneroka ini terutama dalam membantu menambahkan pendapa-tan sampingan keluarga masing-masing.

“Peneroka Felda rata-rata telah berumur dan dengan kaedah serta sistem automatik yang ada ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka berbanding kaedah tanaman tradisional yang memerlukan kawasan tanah yang luas,” katanya.

Idris (kiri) dan Muhammad Sanusi (kanan) menanam pokok cili di dalam kotak fertigasi cili sebagai simbolik pelancaran projek kotak fertigasi cili di Felda Laka Selatan, Kubang Pasu pada Rabu.
Idris (kiri) dan Muhammad Sanusi (kanan) menanam pokok cili di dalam kotak fertigasi cili sebagai simbolik pelancaran projek kotak fertigasi cili di Felda Laka Selatan, Kubang Pasu pada Rabu.

Ketua Peneroka Felda Laka Selatan, Hassan Othman, 65, pula berkata, beliau mengharapkan projek tanaman kotak fertigasi berkenaan dapat diperluaskan kepada lebih ramai peneroka lagi di kawasan-kawasan rancangan Felda lain di Kedah.

Menurutnya, beliau yang mewakili 85 peneroka di Felda Laka Selatan menghargai usaha Felda dan berterima kasih kepada kerajaan kerana sentiasa berusaha membantu meningkatkan taraf hidup peneroka dan ahli keluarga mereka.

“Kami sangat berterima kasih kepada Felda kerana memberikan peluang kepada peneroka untuk menambahkan pendapatan sampingan menerusi projek tanaman cili ini,” katanya.