Radzi minta PM semak fakta pelupusan hutang peneroka Felda

Radzi
Radzi
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin secara sinis meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyemak fakta berkenaan pelupusan hutang peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).

Bekas Menteri Pendidikan itu berkata, urusan berkaitan pemulihan dan penghapusan hutang golongan itu dimulakan sejak tahun 2020 menerusi penerbitan sukuk.

Beliau menjelaskan, Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan penubuhan sebuah Pasukan Petugas Khas bagi menangani isu Felda yang diketuai Tan Sri Wahid Omar ketika sambutan Hari Peneroka pada 7 Julai 2020.

"Laporan pasukan ini dibentangkan kepada Jemaah Menteri pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 14 Oktober 2020.

"Laporan antara lain menyentuh perancangan pemulihan termasuk pembelian saham FGV (FGV Holdings Berhad) dan pengukuhan kewangan Felda. Penghapusan hutang peneroka turut disentuh.

"Cadangan peruntukan RM9.9 billion melalui penerbitan sukuk untuk pemulihan Felda diluluskan oleh Jemaah Menteri dan penerbitan sukuk dibuat secara berperingkat antara tahun 2021 hingga 2026," katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Sabtu.

Dalam pada itu Radzi berkata, Muhyiddin ketika sambutan Hari Peneroka Felda pada 7 Julai 2021 turut mengumumkan sejumlah RM8.3 billion hutang peneroka akan dihapuskan.

Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu turut memaklumkan, Pengerusi Felda, Tan Sri Idris Jusoh dalam kenyataan media pada 24 Februari lalu pula menyatakan pelupusan hutang peneroka sebanyak RM8.3 billion selesai dilaksanakan pada tahun 2021.

"Kalau tanya peneroka pun, mereka sendiri tahu bahawa penghapusan hutang ini telah pun dibuat di bawah Projek Wajar dan jumlah bayaran balik yang perlu dibuat adalah jauh lebih rendah selepas penghapusan hutang berbanding sebelumnya.

"Kepada Perdana Menteri, sebelum bercakap, semaklah fakta. Perkara ini bukan berstatus 'Sulit' atau 'Rahsia' lagi. Telah beberapa kali dijawab di Parlimen dan berita berkenaan juga disiarkan kepada umum.

"Tak larat juga saya kalau lepas Perdana Menteri cakap, saya nak kena betulkan fakta. Penat," ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN:Peneroka Felda terima manfaat, tingkat kualiti hidup - Penganalisis

Kerajaan lulus dana RM1 bilion setahun untuk kelangsungan Felda

Felda Maokil 1 menang RM1 juta

Kerajaan bantu penstrukturan semula pinjaman Felda - PM

Tiada menteri Kerajaan Perpaduan menyalahi tadbir urus - Anwar

Peneroka usul empat permintaan tampung kebajikan warga Felda

Peneroka harap kerajaan dapat selesaikan isu tertangguh

Dilabel orang luar, Ahmad Shabery terima sebagai cabaran

Pemansuhan 80 peratus hutang berita dinantikan peneroka Felda