X

Kindly register in order to view this article
!

Bimbang Covid-19, mangsa banjir sanggup sewa homestay

Penduduk di Kampung Tersang menyediakan titi untuk memudahkan mereka mengharungi banjir.
A
A

RANTAU PANJANG - Sebilangan mangsa banjir di sini sanggup menyewa homestay dari berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sebagai langkah berjaga-jaga daripada penularan pandemik Covid-19.

Ini menyebabkan inap desa di sekitar kawasan Rantau Panjang yang tidak ditenggelami banjir laku keras disewa oleh mangsa banjir.

Perkara itu diakui oleh Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Penolong Penguasa Bomba Imran Ismail.

Beliau berkata, ia berkemungkinan mereka ini tidak selesa dan takut memandangkan ramai mangsa yang berada di PPS.

“Tambahan pula, ketika ini negara sedang berdepan pandemik Covid-19,” katanya ketika ditemui pemberita di Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang pada Sabtu.

Menurutnya, ada dalam kalangan penduduk terlibat membuat keputusan berpindah ke rumah sanak-saudara daripada berpindah ke PPS.

Beliau berkata, bomba sentiasa menitik beratkan aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketika penugasan memindahkan mangsa banjir dilakukan.

Imran berkata, pihaknya juga turut memberikan peringatan kepada mangsa banjir supaya menjaga penjarakan sosial dan pemakaian pelitup separuh muka selain menjaga kebersihan.

Katanya, langkah itu merupakan SOP penting dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19.

“Sebab itulah kita minta mangsa banjir supaya berlaku jujur dengan memberikan maklumat tepat.

“Jika tidak sihat atau datang dari zon merah, beritahulah agar proses pengasingan boleh dilakukan,” katanya.

Imran berkata, setiap hari bomba akan melakukan proses sanitasi dalam memutuskan rantaian pandemik itu.

Sementara itu, Imran berkata, paras air Sungai Golok di Rantau Panjang kini berada dalam keadaan bertahan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!