Cikgu rugi RM75,000 ditipu 'pegawai kanan polis'

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KEPALA BATAS - Seorang guru kerugian sebanyak RM75,000 selepas diperdaya sindiket penyamaran sebagai pegawai kerajaan melalui panggilan telefon.

Lelaki berusia 28 tahun itu pada mulanya menerima panggilan daripada individu yang memperkenalkan diri sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan memaklumkan mangsa mempunyai tunggakan cukai syarikat.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, panggilan berkenaan kemudian disambung kepada pegawai polis berpangkat Asisten Komisioner dari Ibu Pejabat Polis Pahang sebelum dia dikatakan terlibat dengan kes dadah dan pengubahan wang haram.

“Mangsa yang panik telah mengikut arahan supaya tidak memaklumkan perkara tersebut kepada sesiapa dan diminta memuat turun aplikasi Bank Negara yang memerlukan mangsa untuk mengisi maklumat perbankan miliknya.

“Tidak lama kemudian mangsa mendapati wang dalam akaun bank telah berkurangan dan semakan dibuat mendapati terdapat transaksi yang dipercayai dilakukan oleh suspek melalui aplikasi yang dimuat turun sebelum ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Noorzainy berkata, orang ramai perlu sentiasa berwaspada dan tidak mudah percaya dengan sebarang panggilan kerana pihak kerajaan mahupun polis sendiri tidak pernah berurusan dengan orang awam melalui telefon dan meminta maklumat perbankan.

Katanya siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Artikel Berkaitan: