Perkeso tubuh badan bertindak percepat siasatan tuntutan

Awang (dua dari kiri) menyampaikan sijil kepada jawatankuasa Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Kedah di Alor Setar pada Jumaat.
Awang (dua dari kiri) menyampaikan sijil kepada jawatankuasa Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Kedah di Alor Setar pada Jumaat.
A
A
A

ALOR SETAR - Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menubuhkan pasukan badan bertindak khas untuk menyiasat tuntutan oleh pekerja yang dijangkiti Covid-19 di bawah Skim Bencana Kerja Perkeso.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Awang Hashim berkata, kes yang diterima sebagai bencana kerja adalah bagi mereka yang telah disahkan terkena jangkitan Covid-19 di tempat kerja sahaja.

Katanya, semua permohonan pencarum yang terjejas itu akan diproses secepat mungkin dalam tempoh maksimum selama 45 hari daripada hari kes diterima.

"Kita tubuhkan 'team' prihatin untuk menyelesaikan masalah ini dan 'task force' khusus untuk menyiasat dan mempercepatkan proses pembayaran.

"Jika permohonan itu memenuhi semua syarat Perkeso, kita akan membuat pembayaran secepat mungkin. Selesai proses hari ini, esok boleh bayar," katanya kepada media selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Tritahunan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Kedah di sini pada Jumaat.

Menurutnya, menerusi skim itu, kesemua pencarum terbabit dibayar sebanyak 90 peratus daripada gaji mereka mengikut jumlah hari mereka dirawat di hospital sehingga mereka disahkan negatif virus berkenaan.

"Bagaimanapun kes yang disahkan dijangkiti daripada keluarga, jangkitan sosial dan tidak positif Covid-19 (kontak rapat) adalah tidak layak untuk membuat tuntutan di bawah skim berkenaan dan Perkeso berhak untuk menolak permohonan terbabit," katanya.

Awang berkata, Perkeso menerima sebanyak 376 permohonan di bawah skim berkenaan sepanjang tahun 2020.

Artikel Berkaitan:

"Daripada jumlah berkenaan, seramai 129 pencarum telah menerima bayaran faedah di bawah skim terbabit yang melibatkan peruntukan sebanyak RM 216,898.94, manakala sebanyak 42 kes telah ditolak dan 205 kes masih dalam siasatan," katanya.