Iran rampas kapal tangki Korea Selatan

Sebuah kapal tangki minyak Korea Selatan, Hankuk Chemi diiringi oleh beberapa buah bot Pasukan Pengawal Revolusi Iran selepas dirampas di perairan negaranya pada Isnin lalu. - Foto AFP
Sebuah kapal tangki minyak Korea Selatan, Hankuk Chemi diiringi oleh beberapa buah bot Pasukan Pengawal Revolusi Iran selepas dirampas di perairan negaranya pada Isnin lalu. - Foto AFP
A
A
A

TEHERAN - Iran pada Isnin menyatakan Pasukan Pengawal Revolusi merampas sebuah kapal tangki Korea Selatan di perairan Teluk setelah didapati melanggar undang-undang alam sekitar.

Ekoran itu, Korea Selatan menuntut kapal tangki Hankuk Chemi dan 20 kru dari pelbagai warganegara dibebaskan.

Seoul juga meminta supaya satu unit antilanun ditempatkan ke kawasan perairan Teluk itu yang berdekatan dengan Selat Hormuz.

Pasukan Pengawal Revolusi menyatakan dalam laman webnya, Sepahnews bahawa kapal yang membawa 7,200 tan produk kimia itu dirampas pada pagi Isnin.

"Kapal tangki ini sedang menuju dari pelabuhan Al Jubail, Arab Saudi dan dirampas disebabkan pelanggaran berulang kali undang-undang alam sekitar maritim," kata pasukan pengawal itu dalam laman webnya.

Jurucakap Kementerian Luar Iran, Saeed Khatibzadeh berkata, dalam satu kenyataan bahawa kapal tangki itu dirampas ekoran isu teknikal dan pencemaran di laut.

"Sama seperti negara lain, Iran sensitif dengan pelanggaran seperti itu, terutamanya (dalam hal) mencemarkan alam sekitar maritim dan (akan) menyelesaikannya melalui undang-undang," katanya.

Pasukan Pengawal Revolusi menyatakan, kru yang ditangkap itu adalah dari Korea Selatan, Indonesia, Vietnam dan Myanmar.

Artikel Berkaitan:

Ia juga tidak menyatakan lokasi kapal tangki itu dirampas tetapi memberitahu ia dibawa ke pelabuhan Bandar Abbas di Hormozgan dan kesnya diserahkan kepada pihak berkuasa kehakiman.

Timbalan Menteri Luar Korea Selatan dijangka melawat Teheran dalam tempoh beberapa hari, menurut pegawai Iran.

Iran mahu Korea Selatan membebaskan berbilion-bilion aset yang ditahan kerana sekatan yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS).

Dalam pada itu, rampasan tersebut berlaku beberapa hari selepas berlakunya ulang tahun pertama kejadian pembunuhan komander tertinggi negara tersebut, Mejar Jeneral Qassem Soleimani dalam satu serangan dron milik AS.

Pada Ahad lalu, AS juga menarik balik semula keputusan untuk mengarahkan sebuah kapal pengangkut pesawat, USS Nimitz pulang dari rantau Teluk dan tindakan itu dibuat kerana Pentagon menyatakan terdapat "ancaman" dari negara Republik Islam berkenaan. - AFP