Lelaki ditemui mati dengan lapan kesan tetakan

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang lelaki maut ditetak dengan parang di kawasan lapang, Batu 5 1/4, Jalan Kampung Jawa di sini, petang tadi.

Dalam kejadian pada jam 4.26 petang, mangsa, R Dharmaraj, 34, ditemui terbaring dengan berlumuran darah.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata,

Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki memaklumkan kejadian berlaku berhampiran rumahnya.

Menurutnya, sepasukan anggota polis bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati mangsa terbaring atas tanah dengan lapan kesan tetakan di muka, tangan dan kaki.

"Siasatan awal berdasarkan keterangan saksi dan rakaman video CCTV di Kuil Sri Maha Kaliamman Madurai Veeran berhampiran tempat kejadian mendapati mangsa datang ke lokasi bersama suspek dengan membonceng motosikal jenis Honda EX5.

"Rakaman menunjukkan suspek tiba-tiba mengejar mangsa dengan parang panjang dan kemudian kembali ke motosikalnya seorang diri.

"Setelah suspek beredar, orang awam menemui mangsa terbaring berlumuran darah di kawasan lapang lebih kurang 30 meter dari kuil sebelum menghubungi ambulan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Baharudin berkata, tiada dokumen ditemui bersama mangsa yang disahkan meninggal dunia pada jam 4.21 petang oleh pembantu perubatan Hospital Klang yang tiba di tempat kejadian.

Bedah siasat ke atas mangsa akan dijalankan di Hospital Klang, esok.

Pihak polis masih menyiasat motif serangan terhadap mangsa dan mengesan suspek terlibat.

"Identiti mangsa masih dalam siasatan dan warisnya sedang dikesan.

"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh hubungi mana-mana balai polis berhampiran atau hubungi terus Pegawai Penyiasat Kes, Asisten Superintendan Effandi Main ditalian 0355202222," katanya.