Pita suara Trump minta cari undi tewaskan Biden

Donald Trump - Foto AFP
Donald Trump - Foto AFP
A
A
A

WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memberi tekanan kepada Setiausaha Negeri Georgia, Brad Raffensperger untuk mencari undi yang mencukupi bagi menukarkan keputusan kekalahannya kepada bekas Naib Presiden AS, Joe Biden kepada kemenangan, lapor media negara tersebut pada Ahad.

Pihak media mendedahkan perbualan audio itu selepas Raffensperger yang juga anggota Republikan berbual dengan Trump pada Sabtu lalu.

Perbualan itu pada mulanya diperoleh oleh akhbar The Washington Post.

Dalam perbualan itu, Trump memberi amaran kepada Raffensperger bahawa beliau dan penasihat undang-undang negeri itu mungkin berdepan dengan risiko besar jika mereka gagal untuk memenuhi pemintaannya.

"Penduduk Georgia sedang marah, rakyat di negara ini juga berang," seperti kata Trump dalam pita rakaman itu yang juga disiarkan oleh media lain.

"Tidak ada salahnya dengan berkata bahawa anda tahu, um, bahawa anda perlu mengira semula. Anda terpelanting (kehilangan) oleh ratusan ribu undi," kata Trump.

Raffensperger kemudian memberikan reaksi dengan berkata seperti dilaporkan oleh AFP:

"Encik Presiden, cabarannya ialah data anda (berikan itu) adalah salah."

Artikel Berkaitan:

Biden daripada parti Demokrat memenangi Pilihan Raya Presiden AS untuk negeri tersebut dengan menewaskan Trump dengan kelebihan kurang daripada 12,000 undi.

Jumlah itu tidak berubah selepas pengiraan semula undi dibuat.

Pada pilihan raya 3 November lalu, Biden memperoleh 306 undi elektoral manakala Trump hanya 232 undi elektoral manakala bekas Naib Presiden AS itu mendapat hampir 81.3 juta undi popular iaitu lebih tujuh juta undi berbanding Trump.

Selepas audio itu didedahkan, Rumah Putih enggan memberikan sebarang ulasan.

Beberapa pengulas politik membandingkan panggilan telefon itu dengan skandal Watergate yang menyebabkan kejatuhan Richard Nixon sebagai Presiden AS yang ke-37 pada tahun 1974.

Skandal itu bermula dengan beberapa penceroboh ditangkap ketika mereka memecah masuk ibu pejabat parti Demokrat di Washington DC - Agensi