Orang awam berdepan perompak bersenjata, lawan guna berus dan gergaji

Salah seorang menggunakan penyapu berus panjang untuk menghalang suspek. - Agensi
Salah seorang menggunakan penyapu berus panjang untuk menghalang suspek. - Agensi
A
A
A

LONDON - Kejadian rompakan sekumpulan perompak bersenjatakan parang di sebuah kedai emas di Green Lanes, Islington pada pagi Selasa bertukar kecoh apabila orang awam bertindak cuba menghalang suspek daripada melarikan diri.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, kumpulan penjenayah berpakaian serba hitam dan memakai topi keledar dilaporkan menyerbu kedai emas milik warga Turki, Bilezzik Gold Shop sebelum melarikan sejumlah barangan berharga.

Rakaman video yang tular di media sosial memaparkan suasana cemas apabila beberapa saksi di lokasi enggan berdiam diri dan bertindak mengejar suspek.

Menerusi video berdurasi 0.58 saat itu, seorang lelaki dilihat meluru ke arah seorang suspek yang sedang menunggu di atas motosikal sambil mengayunkan penyapu berus panjang bagi menangkis parang yang diacukan ke arahnya.

Seorang lagi individu yang kebetulan melalui kawasan itu turut cuba membantu dengan memegang gergaji ketika orang ramai mula mengerumuni kumpulan perompak berkenaan.

​Walaupun cuba dihalang, suspek dilihat berjaya memecut keluar dari kawasan berkenaan, selepas berlaku pergelutan singkat dengan orang awam yang mengejar mereka.

Jurucakap Metropolitan Police mengesahkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.04 pagi dan tiba di lokasi kejadian empat minit kemudian.

“Beberapa orang awam telah cuba menghalang suspek daripada melarikan diri. Tiada kecederaan dilaporkan setakat ini,” katanya dalam satu kenyataan kepada media.

Ujarnya, siasatan terperinci sedang dijalankan termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar kawasan kejadian bagi mengenal pasti identiti suspek.

Artikel Berkaitan:

Setakat petang Selasa, tiada tangkapan dibuat dan polis masih memburu kumpulan perompak terbabit.

 

Ringkasan AI

  • Kejadian rompakan berlaku di sebuah kedai emas di Green Lanes, Islington pada pagi Selasa
  • Perompak bersenjatakan parang dan berpakaian serba hitam menyerbu kedai dan melarikan barangan berharga
  • Orang awam cuba menghalang suspek dengan mengejar dan menggunakan alat seperti penyapu dan gergaji
  • Suspek akhirnya berjaya melarikan diri meskipun ada pergelutan dengan orang awam
  • Polis telah tiba di lokasi beberapa minit selepas kejadian dan sedang melakukan siasatan termasuk meneliti rakaman CCTV

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!