Mangsa banjir di Pahang meningkat kepada 2,551

Anggota polis membantu memindahkan mangsa banjir selepas beberapa kawasan di Kuantan dilanda banjir pada Ahad.
Foto: Ihsan PDRM
Anggota polis membantu memindahkan mangsa banjir selepas beberapa kawasan di Kuantan dilanda banjir pada Ahad. Foto: Ihsan PDRM
A
A
A

KUANTAN - Bilangan mangsa banjir di Pahang terus meningkat dengan jumlah mangsa yang dipindahkan mencecah 2,551 orang sehingga jam 5 petang Ahad berbanding 456 orang pada tengah hari.

Ia melibatkan seramai 667 keluarga dari sembilan daerah terjejas iaitu Kuantan, Raub, Temerloh, Maran, Rompin, Lipis, Jerantut, Pekan dan Bentong.

Berdasarkan laporan portal InfoBencanaJKM, sehingga jam 5 petang, sebanyak 59 PPS dibuka dengan bilangan tertinggi di daerah Raub iaitu 26 PPS melibatkan 368 mangsa daripada 89 keluarga.

Menurut laporan itu, antara PPS di Raub ialah Balai UMNO Kampung Batu Talam seramai 12 mangsa, Surau Kampung Peruas (61 mangsa), Balairaya Kampung Pamah Kulat (76 mangsa), Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Sungai (51 mangsa), SK Ulu Atok (98 mangsa), Dewan Serbaguna Kampung Pia (16 mangsa), Balairaya Kampung Sempam Baru (7 mangsa), Masjid Kuala Temau (17 mangsa) dan Balairaya Kampung Sega Lama (30 mangsa).

Bagi daerah Kuantan, tujuh PPS dibuka melibatkan Dewan Orang Ramai Kampung Paya Bungor (84 mangsa), Bengkel Jahitan Kemas (52 mangsa), SK Beserah (115 mangsa) Dewan Orang Ramai Kampung Seri Damai (62 mangsa), SK Kempadang (48 mangsa), SK Galing (330 mangsa) dan SK Sungai Isap (42 mangsa).

Sementara itu, di daerah Temerloh, lima PPS dibuka di Dewan Belia Paya Luas, Dewan JKKK Kampung Gau Baru, Dewan Taman Pulai Idaman, SK Desa Bakti dan SK Jalan Bahagia dengan jumlah mangsa keseluruhan 273 mangsa daripada 79 keluarga.

"Hanya satu PPS dibuka di daerah Bentong setakat ini iaitu di SK Bukit Piatu dengan bilangan mangsa 45 orang daripada lapan keluarga.

"Seramai 434 mangsa daripada 120 mangsa banjir di Maran kini berada di Balairaya Kampung Jara, Surau Sungai Jerik, SMK Maran dan SK Kuala Sentul," kata kenyataan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Di Rompin, enam PPS dibuka iaitu di Balai Raya Kampung Bukit Lepas, SK Pontian, Dewan Orang Ramai Bukit Ibam, Pusat Pemindahan Banjir Kampung Setajam, Balairaya Kampung Jawa dan SK Sarang Tiong dengan jumlah mangsa keseluruhan 358 mangsa daripada 92 keluarga.

Hanya dua PPS di Pekan iaitu di SMK Peramu Jaya dan SK Felda Chini 3 dengan jumlah mangsa terlibat 53 mangsa daripada 14 keluarga.

Enam PPS dibuka di daerah Jerantut melibatkan 347 mangsa daripada 92 keluarga yang kini berada di PPS SK Batu Balai, SK Kampung Baharu, SK LKTP Tekam Utara, SK Pedah, SK Temin dan SK Felda Kota Gelanggi 1.

Sementara itu, dua PPS dibuka di daerah Lipis iaitu di SK Budu dan Balairaya Kampung Lalang dengan jumlah mangsa seramai 35 orang daripada 12 keluarga.