UMNO Melaka akan pertahan semua kerusi dimenangi pada PRU14

Ab Rauf Yusoh
Ab Rauf Yusoh
A
A
A

ALOR GAJAH - UMNO Melaka bertekad mempertahankan semua kerusi yang dimenanginya semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada PRU15 akan datang, kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka itu berkata, kerusi yang asalnya milik UMNO dan BN seperti Masjid Tanah, yang penyandangnya bertindak melompat parti, tidak akan diserah kepada parti lain manakala bagi kerusi tidak dimenangi UMNO dan BN, keputusan meletakkan calon bergantung kepada pertimbangan dan perundingan dengan parti sekutu.

"Namun UMNO akan menghormati (keputusan lain) sekiranya perundingan dilakukan untuk memperkukuhkan (kerjasama antara) parti," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Masjid Tanah di sini pada Ahad.

Pada PRU14 2018, BN menerusi UMNO memenangi dua daripada enam kerusi Parlimen yang ditandinginya selain 13 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Dua kerusi Parlimen yang dimenangi BN pada PRU14 ialah Masjid Tanah dan Jasin.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin pada 13 Disember 2018 mengumumkan menyertai Bersatu.

Ab Rauf juga berkata, bagi memantapkan lagi kerjasama dalam Muafakat Nasional, UMNO Melaka akan memberi pertimbangan untuk melihat kerusi strategik yang boleh diberikan kepada PAS pada PRU15. - Bernama

Artikel Berkaitan: