Langgar lopak air, pacuan empat roda terbalik di LPT1

Keadaan kenderaan dinaiki mangsa selepas terbabit kemalangan di Kilometer 240 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) pada petang Sabtu. - Foto ihsan JBPM Pahang
Keadaan kenderaan dinaiki mangsa selepas terbabit kemalangan di Kilometer 240 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) pada petang Sabtu. - Foto ihsan JBPM Pahang
A
A
A

KUANTAN - Seorang penumpang sebuah kenderaan pacuan empat roda maut apabila kenderaan dinaiki lima sekeluarga itu dipercayai terbabas sebelum terbalik di Kilometer 240 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) di sini pada petang Sabtu.

Dalam kemalangan kira-kira jam 6.20 petang itu, mangsa, Meriam Abdullah, 77, beralamat di Jerteh, Terengganu yang duduk di bahagian penumpang belakang meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh @ Mohamad Daud berkata, suami mangsa, Husain Said, 78, yang berada di kerusi penumpang hadapan cedera di kepala.

Beliau bagaimanapun berkata, pemandu kenderaan jenis Toyota Hilux berusia 23 tahun dan dua lagi penumpang dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Anggota bomba melakukan kerja-kerja menyelamat mangsa kemalangan di Kilometer 240 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) pada petang Sabtu. - Foto ihsan JBPM Pahang
Anggota bomba melakukan kerja-kerja menyelamat mangsa kemalangan di Kilometer 240 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) pada petang Sabtu. - Foto ihsan JBPM Pahang

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika kenderaan tersebut dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur menghala ke Terengganu.

"Kenderaan tersebut hilang kawalan dipercayai terlanggar lopak air lalu terbabas ke bahu jalan dan terbalik di tepi longkang," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Kamarulzaman berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk bedah siasat.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa yang cedera dihantar ke hospital sama untuk menerima rawatan," katanya.

Beliau berkata, kemalangan itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.