Serah Jawatankuasa Usul isu penolakan kerjasama Bersatu: Noh

Noh memukul gong sebagai simbolik perasmian pada Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tanjong Karang di IPP di sini Ahad.
Noh memukul gong sebagai simbolik perasmian pada Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tanjong Karang di IPP di sini Ahad.
A
A
A

TANJONG KARANG - UMNO Selangor menyerahkan kepada Jawatankuasa Usul UMNO Malaysia sekiranya terdapat mana-mana UMNO bahagian di negeri ini mengemukakan usul masing-masing termasuk mengusulkan penolakan kerjasama politik antara parti itu dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Pengerusinya, Tan Sri Noh Omar berkata, setiap bahagian berhak untuk mengemukakan usul tambahan semasa sesi perbahasan pada mesyuarat perwakilan bahagian masing-masing.

Bagaimanapun, menurutnya, UMNO Selangor mengemukakan usul wajib iaitu memperkukuh kerjasama UMNO dan Pas menerusi Muafakat Nasional.

"Usul (tolak kerjasama dengan Bersatu) terpulang kepada UMNO bahagian, tetapi dalam usul perbahasan (UMNO Selangor) kita tidak pun sebut tentang Bersatu.

"Kita hanya menekankan bahawa (kerjasama UMNO dan Pas) di dalam Muafakat Nasional," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tanjong Karang di Institut Pengurusan Peladang (IPP) di sini Ahad.

Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, UMNO akan terus berusaha memastikan tiada pertembungan dengan Pas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Kita kena tanam semangat Muafakat Nasional ini dan jika ada pertembungan antara UMNO dan Pas, kita bimbang keputusan PRU14 berulang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan beberapa UMNO bahagian di negeri ini yang menjalankan mesyuarat perwakilan UMNO bahagian mengemukakan usul menolak sebarang bentuk kerjasama dengan Bersatu.

UMNO bahagian di Selangor yang mengemukakan usul itu antaranya UMNO Bahagian Sabak Bernam, Sungai Besar dan Kuala Selangor.